Prestasi tidak menentu Nur Insafi dalam saingan Liga Perdana (Liga Hoki Malaysia) ketika ini bukan jaminan besar buat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berasa yakin meraih mata penuh di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, Jumaat ini.
Menurut Pengurus UniKL, Datuk Amir Azahar Ibrahim, walaupun lawan di tangga kelima liga itu bermula buruk dengan mengalami tiga kekalahan besar di awal kempen, namun Nur Insafi membuktikan mereka mampu memberikan ancaman hasil kemenangan mengejut 2-0 ke atas UiTM, Ahad lalu.
“Setakat ini kami belum sepenuhnya menemui keserasian sebagai sebuah pasukan selain belum menemui taktikal terbaik buat pasukan. Masa yang akan menentukannya.
“Tetapi kami tidak boleh mengambil mudah cabaran Nur Insafi selepas mereka berjaya mengatasi UiTM di samping mereka juga diperkuatkan kehadiran bekas pemain berpengalaman kebangsaan dan beberapa bekas pemain UniKL,” katanya.
Bagi pengendali UniKL, Arul Selvaraj pula pastinya beliau mengharapkan barisan pemain bintangnya meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut selepas kejayaan terdahulu membenam Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 dan UiTM 2-1.
“Kami setakat ini telah bermain tiga perlawanan (satu seri dan dua menang). Kunci utama adalah mengekalkan konsisten individu dan pasukan. Saya menjangkakan setiap pemain di atas padang menampilkan persembahan terbaik apabila berdepan Nur Insafi.
“Suasana dalam pasukan amat hebat. Semua 20 pemain berpuas hati dengan peranan yang diberikan. Jadi kami mahu terus meningkat perlawanan demi perlawanan selain cuba memperbaiki kelemahan dari segi konsep dan taktikal permainan. Saya bersyukur kerana tahun ini kami mempunyai barisan pemain yang hebat,” kata Arul.
Nur Insafi sebelum ini dikecam teruk selepas menjadi mangsa belasahan Maybank 5-1, TNB 10-0 dan Terengganu Hockey Team (THT) 6-1, namun bangkit dalam aksi terakhir liga apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas UiTM sekali gus memanjat keluar daripada tangga tercorot liga.
UniKL pula kini menghuni tangga ketiga liga dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan – tiga mata di belakang peneraju liga THT dan dua mata dipisahkan dengan pasukan tangga kedua TNB yang masing-masing telah mengharungi empat perlawanan.
Bagaimanapun, UniKL tidak boleh memandang mudah keupayaan Nur Insafi yang akan mempertaruhkan sentuhan pemain negara, Joel van Huizen serta khidmat bekas pemain kebangsaan seperti Syamim Mohd Yusof, Ismail Abu, Baljit singh Sarjab, Harmit Singh, Jiwa Mohan dan Keevan Raj.
Selain itu, pasukan yang berpangkalan di Sungai Petani itu juga diperkuatkan tenaga import dari Pakistan yang terdiri daripada Abdul Asim Khan, Imran Abbas, Muhammad Kashif Abbas dan bekas kapten Pakistan Waseem Ahmed yang pernah beraksi buat Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).
Waseem pernah diangkat antara pemain tengah terbaik dunia sebelum memilih bersara selepas berakhir Sukan Olimpik London 2012 dan dia dijangka tiba pada minggu ini untuk menambah ketajaman jentera serangan Nur Insafi.
“UniKL bukan saja menghimpun pemain kebangsaan tetapi juga adalah sebuah pasukan berkelas dunia,” kata pengendali Nur Insafi, S Thaitchana. “Mereka mempunyai ramai pemain yang hebat tetapi akan tetap mencuba memberi tentangan sengit. Kalah atau menang bukan misi utama kami sebaliknya kami lebih aksi yang baik.”