Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mempamer aksi bertenaga untuk menewaskan Maybank 4-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB di Stadium Tun Razak, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan UniKL memperoleh bekalan selesa menjelang aksi timbal balik, Khamis ini.Â
Dalam satu lagi perlawanan, pasukan Hoki Terengganu menewaskan Tenaga Nasional Berhad 3-1 dengan jaringan dua gol Faizal Saari (m-28 dan m-46) manakala pemain Korea Selatan Jang Jonghyun merembat gol ketiga (m-52). Gol tunggal TNB di jaringkan Muhammad Arif Shafie Ishak (m-60).
Pengurus pasukan UniKL, Datuk Amir Azhar Ibrahim nyata berpuas hati dengan keputusan itu di sebalik ketiadaan ketua jurulatih, Arul Selvaraj yang tidak hadir berikutan masalah kesihatan.
“Walaupun menang pada hari ini apa saja boleh berlaku pada perlawanan separuh akhir kedua nanti. Kemenangan 4-1 tidak menjamin apa-apa. Kami pernah melalui situasi sama beberapa tahun lalu tetapi tewas pada aksi timbal balik sekaligus tak dapat meneruskan kemaraan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.Â
Amir juga berkata kesemua tonggak importnya tidak berdepan masalah meskipun terpaksa beraksi seawal jam 3 petang.
“Mereka sudah menjalani latihan jam 3 petang semalam untuk menyesuaikan diri dengan situasi hari ini,” katanya.
“UniKL yang baru dinobatkan selaku juara Liga Perdana, di depan menerusi pukulan sudut penalti tonggak import, Martijn Peter Havenga minit ke-8.
Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim menambah gol kedua minit ke-20 sebelum seminit kemudian Mohamad Ashran Hamsani menjaringkan gol ketiga UniKL hasil jaringan padang.
UniKL semakin selesa selepas Robert Kemperman menambah gol keempat dua minit sebelum tamat perlawanan hasil jaringan padang.
Bagaimanapun Maybank memperoleh gol tunggal menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Haziq Samsul minit terakhir perlawanan.