BERMULA cabaran!
SUKAN SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 secara rasmi bermula pda Sabtu (19 Ogos) dengan upacara perasmian yang menggambarkan tradisi dan elemen unik Malaysia, berlangsung dalam suasana gilang gemilang, sesuai dengan statusnya sebagai temasya sukan terbesar di Asia Tenggara.
Selari dengan tradisi Sukan SEA, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan bertitah merasmikan temasya tepat jam 9.26 malam (waktu Malaysia).
Majlis yang mempunyai aturcara serba tersusun itu turut dihadiri Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan YB Brig Gen Khairy Jamaluddin dan Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar.
Ribuan penonton, yang datang seawal 4 petang, telah membanjiri Stadium Nasional yang akan menjadi gelanggang berlangsungnya beberapa acara utama seperti olahraga, bolasepak dan upacara penutup pada 30 Ogos.
Selama lebih dua jam, penonton, rakyat Malaysia dan populasi negara ASEAN disajikan dengan upacara menarik yang berwarna warni yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan platform digital.
Perarakan masuk para atlet bermula tepat 8.31 malam, didahului Brunei dan diikuti Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Timor Leste.
Kontinjen Malaysia, yang membariskan lebih 800 atlet, berarak masuk penuh megah ke dalam stadium dengan diketuai chef de misson Datuk Marina Chin dan membariskan tiga pembawa bendera berkelas dunia — Azizulhasni Awang (keirin), Cheong Jun Hoong (terjun) dan Mohd Al Juferi Jamari (silat) – dan diberikan sorakan paling meriah oleh penonton.
Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh diberi penghormatan mengetuai bacaan ikrar atlet manakala Penolong Setiausaha PESILAT dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) YB Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin membacakan ikrar bagi pihak pegawai.
Upacara turut mengiktiraf sumbangan lagenda dan ikon sukan Malaysia daripada generasi berlainan yang membawa bendera-bendera Persekutuan Sukan SEA dan Sukan SEA ke dalam stadium.
Seluruh stadium kemudian memberikan tumpuan kepada skrin untuk pertunjukan khas arahan pengarah terkenal, Saw Theong Hin. Pertunjukan empat bahagian itu memaparkan kepelbagaian kebudayaan, asal usul dan diversiti. Segmen kepelbagaian kesamaan menunjukkan sebahagian daripada kebudayaan yang unik di negara ini termasuk penglipur lara, permainan gendang Cina, Melayu dan India, dondang sayang, joget dan tarian terinai.
Upacara menyalakan obor sukan dilakukan secara unik di mana atlet daripada berlainan generasi membawa obor, yang telah dibawa menjelajah ke seluruh pelosok negara selama tiga bulan, dibawa masuk ke dalam stadium. Perarakan obor itu membabitkan lima kumpulan iaitu generasi bekas ahli sukan dan ahli sukan semasa.
Apabila kawah obor itu dinaikkan daripada pentas, pembawa obor terakhir iaitu bintang terjun muda Nur Dhbaitah Sabri menyalakannya dan menandakan bermulanya Sukan SEA 2017. Kawah obor itu akan menyala selama 12 hari seterusnya dan akan dipadamkan pada majlis penutup pada 30 Ogos. Percikan bunga api menerangi seluruh stadium, menambahkan kemeriahan dan menghidupkan suasana di stadium dengan diiringi lagu tema “Bangkit Bersama.”
Presiden SEAGF, dalam ucapannya memuji Pihak Penganjur Malaysia (MASOC) kerana usaha keras menganjurkan temasya sejak dua tahun lepas.
“Bagi pihak SEAGF, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Malaysia kerana penganjuran temasya, khususnya, kepada Pengerusi MASOC Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Belia dan Sukan, serta pasukannya yang bertungkus lumus untuk penganjuran sukan selama 12 hari yang pastinya akan menjadi kenangan.”
YB Brig Jen Khairy, dalam ucapannya berkata: “Bagi kita yang berkumpul di sini malam ini, dan jutaan yang menonton di rumah, kami percaya terhadap kuasa sukan untuk menyatukan, memberi inspirasi dan menghasilkan yang terbaik daripada.
“Atas sebab inilah Sukan SEA merupakan alat yang penting untuk membentuk komuniti negara-negara di Asia Tenggara.”
Sebanyak 18 pingat emas telah pun dimenangi sejak pertandingan bermula 14 Ogos.
Baki 386 pingat emas akan menjadi rebutan atlet untuk tempoh 12 hari lagi sehingga tamat temasya pada 30 Ogos ini.