Oleh Muhammad Aiman
Kecoh arena bolasepak tempatan setelah Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mengambil tindakan tegas memotong enam mata milik Kelantan, Perlis, T-Team dan Angkatan Tentera Malaysia di atas kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan bekas pemain pasukan masing-masing beberapa hari lalu.
Paling kuat melatah, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menerusi bekas presidennya yang kini Pengerusi Konsortium Penaja pasukan itu, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa tindakan FMLLP tidak adil, bersikap pilih kasih malah memberikan pelbagai fakta dan teori untuk menyatakan bahawa keputusan FMLLP itu adalah pelik serta tidak wajar sama sekali.
Di pihak Kafa dan penyokong Kelantan, Annuar bagaikan wira yang mahu menyelamatkan bolasepak Kelantan dan mereka bersetuju dengan setiap fakta, teori dan hujah yang dikemukakan Annuar.
Dengan menekankan mengenai kegagalan FMLLP dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membantu ahli gabungan bersaing secara sihat terutamanya dari segi kewangan, segala kesalahan sendiri di pihak Tan Sri Annuar dan Kafa bingkas ditutup.
Bagi mereka FMLLP sebuah badan yang tidak betul dan mempunyai perasaan iri hati, dengki dan mahu menjatuhkan, mahu meranapkan bolasepak negeri itu.
Memang, dari satu sudut kita perlu akui FMLLP sehingga kini belum boleh dianggap berjaya terutama dalam aspek pengkomersialan Liga Malaysia serta belum berjaya mewujudkan peluang menjana pendapatan kepada pasukan bertanding. Namun adakah itu bermakna Kafa langsung tidak membuat salah dan kesalahan mereka boleh dipandang ringan, boleh dimaafkan begitu sahaja?
Ramai yang lupa bahawa Kelantan pada hakikatnya tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam saingan musim ini tetapi diberikan kelonggaran. Mereka sudah berulang kali diberi muka, berulang kali diberi peluang kedua, ketiga, keempat untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain namun memandang ringan setiap amaran dan peringatan yang diberikan..
Bagi mereka, FMLLP tidak akan berani mengambil tindakan, tidak mungkin FMLLP akan melakukan tindakan sebegitu, kerana FMLLP hanya pandai berkata-kata dan sekiranya bertindak maka ianya hanya akan menimbulkan rasa amarah ahli gabungan.
Maka mereka bermain-mainlah dengan gaji, tunggakan, KWSP, Socso. Walau bertahun berlalu, ianya tetap tidak diselesaikan, mereka mengatakan ianya hanya akan diurus bila mampu namun untuk membawa masuk pengendali, pengarah teknikal dan pemain baru mereka mampu dan banyak duit di dalam kantung.
Apabila peringatan sudah diberi, maka ia bermaksud mereka sudah pun sedia maklum tindakan akan diambil. Berulang kali amaran dan peringatan diberi, tiada tindakan susulan diambil Kelantan untuk selesaikan masalah, maka apabila tiba masa tindakan diambil, mata dipotong mereka melatah menyalahkan semua.
Di pihak Tan Sri Annuar Musa dan Kafa, mereka maksum. Mereka langsung tidak membuat salah sebaliknya setiap kesalahan diletakkan di atas badan pentadbir kerana gagal; penaja kerana tidak bayar seperti dijanji; pemain dan pegawai kerana demand gaji tinggi; wartawan dan media kerana menulis tidak tahu fakta dan berlandaskan teori; serta penyokong yang memberi komen sinis.
Semua pihak dikatakan salah, tetapi tidak sedikitpun mereka merendah diri mengakui kekhilafan sendiri.
Apabila Tan Sri Annuar Musa dan Kafa berbelanja melebihi kemampuan untuk membawa masuk pemain tempatan dan import, apabila mereka kemudiannya gagal membayar gaji tepat pada waktunya, apabila tunggakan itu kemudian menjadi hutang, apabila pemain dan pegawai menuntut hak mereka sepertimana telah dijanjikan, apabila mereka boleh membawa masuk orang baru pada ketika orang lama masih menunggu hutang dibayar – Tan Sri Annuar dan Kafa tidak salah.
Mereka sewenang-wenang melakukan kesalahan saban tahun, dan lebih malang ada pula kalangan penyokong yang begitu taksub sehingga menyokong segala tindakan mereka. Tiada siapa pun mahu mengatakan Kafa atau Tan Sri salah, ini kerana perhatian sudahpun dialihkan lebih awal kepada ketidakberkesanan FAM dan FMLLP.
Tiada siapa akan mengatakan Tan Sri Annuar salah walaupun dia berlari sekerat jalan ekoran masalah kewangan, ibarat meninggalkan kapal yang karam kerana dia kemudiannya berjaya memulihkan reputasi sendiri apabila menjadi hero dengan tiba-tiba tampil sebagai penaja sekaligus membolehkan Kelantan terus bernafas.
Alasan diberikan, TRW adalah darah daging saya, saya tidak mahu TRW berkubur. Jika benar ada sedikit rasa tanggungjawab, usahlah bermain dengan rezeki pemain, berikan mereka hak mereka kerana mereka juga ada keluarga untuk disara. Jangan tunggu pilihanraya baru hendak tunjukkan rasa simpati dan tanggungjawab.