“Saya sememangnya tidak terfikir boleh sampai ke tahap ini kerana sudah berumur 41 tahun dan masih aktif bermain secara profesional, terima kasih kepada Kuching City yang masih beri kepercayaan,” demikian kata pertahanan berpengalaman Kuching City FC, Rames Lai Ban Huat.
Pemain yang beraksi di posisi pertahanan kiri ini juga membuktikan umur bukan penghalang apabila diturunkan dalam semua perlawanan membabitkan Kuching City sepanjang musim ini di Liga Premier malah mampu beraksi sehingga 90 minit.
Malah, dia juga menjadi sebahagian daripada tonggak utama membawa nama Kuching FA daripada saingan Liga M3 pada musim 2019 sebelum pasukan itu yang dijenamakan kepada Kuching City, beraksi buat musim kedua di Liga Premier.
“Selepas tidak lagi beraksi dengan Sarawak sebaik musim 2018 berakhir, saya bersama-sama beberapa pemain lain mendapat tawaran dari Kuching FA dan pada masa itu tidak terfikir yang khidmat orang lama seperti saya masih diperlukan.
“Memasuki musim ketiga bersama Kuching City, saya masih lagi mampu beraksi di tahap tertinggi dan perkara yang paling diutamakan pada umur seperti ini, hanya perlu mengelakkan daripada mengalami kecederaan.
“Segalanya tampak berjalan dengan baik biarpun kami sedikit bergelut pada awalnya ekoran beberapa faktor seperti persiapan pra musim dan logistik, namun lama kelamaan kami mula mendapat rentak termasuk meraih dua kemenangan,” katanya.
Rames menjadi antara segelintir pemain selain Masashi Motoyama (Kelantan United FC), Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin (Kuala Lumpur City FC) dan Amri Yahyah (Sabah FC) yang masih bermain Liga Malaysia selepas menginjak umur di atas 40 tahun.
Selain Kuching City dan Sarawak, Rames yang mempunyai kacukan Cina dan India ini pernah beraksi bersama Telekom Melaka, KL Plus FC, Kuala Lumpur dan Felda United FC sepanjang lebih 20 tahun pembabitan di dunia bola sepak profesional.
Pemain yang berasal dari Perak ini akui hatinya sudah terpaut dengan Kuching dan akan terus di sana selepas bersara daripada dunia bola sepak, pada satu hari nanti.
Semuanya berikutan dia sudah tinggal di sana semenjak tahun 2012 apabila mula menyarung jersi Sarawak sehingga tujuh musim sebelum ke Kuching City pada musim 2019.
Dalam masa sama, dia mengakui musim ini turut memberikan lebih banyak motivasi tambahan kerana kembali bergandingan dengan bekas jurulatihnya di Telekom Melaka, Irfan Bakti.
“Buat masa ini belum terfikir soal persaraan kerana selagi mereka perlukan, saya akan terus bermain cuma kalau boleh mahu tinggal di sini terus kerana telah lama di Kuching.
“Cuma musim ini rasa lebih bersemangat lagi kerana saya dapat bekerja kembali dengan Irfan, seorang jurulatih yang pernah menaikkan nama saya dahulu semasa di Telekom Melaka.
“Empat tahun saya bermain di bawahnya, dia memang jurulatih yang tegas di atas padang tetapi saya cukup selesa dengan caranya kerana dia seorang yang sangat berpengalaman dan dia mampu membawa nama Kuching City ke tahap lebih baik,” katanya.