Isu melibatkan umur pemain yang dipanggil untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaysia bukan persoalan besar yang perlu difikirkan oleh Ketua Jurulatih Nelo Viganda dalam melakukan persiapan menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan pada 13 Jun.
Bagi pengendali kelahiran Portugal ini, beliau gemar untuk menggunakan pemain muda, namun selagi mana pemain yang sudah berusia masih mampu untuk menabur bakti dan menampilkan persembahan yang terbaik, mereka wajar diberi peluang.
“Secara peribadi, saya suka untuk melabur dalam pemain baharu…membawa masuk bakat-bakat baharu dan ia sentiasa menjadi kepakaran saya dan sebab itu saya membawa masuk dua pemain berusia 22 tahun. Sekiranya, mereka menampilkan persembahan berkualiti, mereka boleh menyarung jersi kebangsaan…sama dengan pemain-pemain yang sudah berusia,” kata Viganda
Tambahnya lagi, perbincangan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah mahu mengubah corak bolasepak di Malaysia.
“Seandainya, kita memperoleh keputusan baik pada perlawanan kelayakan Piala Asia, sudah pasti ia memberi motivasi ke arah hala tuju baharu dalam kancah bola sepak negara,” katanya lagi.
Viganda yang digelar The Professor turut mengesahkan tidak akan mengadakan sebarang perlawanan persahabatan susulan faktor masa dan perubahan jadual perlawanan dengan Korea Utara.
Ini kerana, pemain yang dipanggil daripada Johor Darul Takzim masih belum melaporkan diri kerana perlu bersama JDT bagi perlawanan Separuh Akhir Kedua Piala AFC diantara Johor Darul Takzim dengan kelab dari Filipina, Cerez Negroz FC malam esok.
Ia turut ditambah dengan perubahan jadual diantara Malaysia dengan Korea Utara yang sepatutnya dilangsungkan pada 28 Mac lalu ditunda atas faktor ketegangan hubungan politik.
Kesemua pemain JDT dijangka melaporkan diri bagi latihan pusat di Johor Bahru pada 3 Jun selepas kembali dari Filipina. – OLEH KU MOHD LUFTI