jdt.valencia

Kelab Sepanyol, Valencia CF bersedia untuk membawa kerjasama yang terjalin bersama Johor Darul Takzim ke aras yang lebih tinggi.

Presiden kelab La Liga itu, Layhoon Chan yang jelas kagum dengan  pencapaian serta infrastruktur latihan kelas pertama JDT, berkata kedua-dua kelab berkongsi matlamat sama dan berharap perbincangan yang sedang berjalan dapat membantu merealisasikan impian JDT untuk membina sebuah akademi sendiri.

Chan berada di bumi Harimau Selatan sejak Khamis, ditemani beberapa pegawai teknikal dan pemasaran Valencia CF serta pegawai termasuk ketua jurulatih pasukan, Pako Ayestaran dan lima pemainnya iaitu Matthew Ryan, Santiago Mina, Jaume Domenech, Javi Fuego dan Paco Alcacer.

Mengenai bentuk bantuan yang akan dihulurkan sebagai jalinan kerjasama antara kedua-dua kelab, Chan berkata pihaknya mungkin menghantar jurulatih dari Sepanyol yang terbabit dengan kelab itu untuk melatih pemain serta jurulatih tempatan di sini.

Dalam masa sama, Chan turut mengambil kesempatan untuk memuji kemudahan latihan dimiliki JDT yang disifatkannya sebagai canggih dengan menyatakan bahawa situasi Eropah adalah berbeza kerana kebanyakan kelab ternama Eropah hanya mempunyai kemudahan yang telah beroperasi terlalu lama.

“Malah, gelanggang latihan kami sendiri sudah ada sejak lebih daripada 20 tahun dan kami sedang melihat bagaimana untuk meningkat dan memperbesarkannya,” kata Chan sambil menambah lawatan ke JDT membolehkannya mengintai peluang untuk kedua-dua pasukan meningkatkan prestasi mereka.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Komersial Valencia CF Peter Draper berkata JDT telah melakukan tugas yang cemerlang melalui penyediaan stadium baru dan akademi latihan bagi memperkasakan industri sukan di wilayah ini.

“Saya baru tiba di sini dan apa yang saya nampak cukup hebat. Mereka telah melakukannya dengan baik dan saya rasa kami boleh membantu mereka lagi,” katanya.

Dalam pada itu penyerang JDT Safee Sali berkata berlatih bersama kelab ternama itu merupakan satu peluang yang diidamkan mana-mana pemain sambil menegaskan ia mampu memberi impak besar kepada pengurusan dalam membangunkan bola sepak Johor.

“Mentaliti mereka sejak kecil adalah berbeza, begitu juga pembangunan sukan dan kematangan mereka. Malah, kita mengalami situasi yang berlainan ketika dalam latihan tadi, namun saya yakin kita boleh memperbaikinya,” ujar Safee.

- Advertisement -