MENTERI Belia dan Sukan YB Brig Jen Khairy Jamaluddin berpuas hati dengan tahap persiapan venue di MITEC yang akan menjadi hos kepada tujuh sukan pada  Sukan Para ASEAN yang bermula Ahad ini.

Semua venue sudah dinaik taraf selaras dengan keperluan sukan dan atlet para termasuk akses ke gelanggang serta kemudahan awam lain seperti tandas dan sebagainya.

 
“Venue dinaik taraf agar mesra atlet berkerusi roda selain penambahbaikan akses ke gelanggang atau tempat yang telah dikhaskan.

Penubahsuaian juga dibuat pada tandas kerana kalau harapkan satu tandas OKU sahaja tidak cukup. Jadi tandas biasa juga telah diluaskan  bagi memberi keselesaan kepada mereka,” jelasnya. 

 
Sebanyak  tujuh sukan akan dipertandingkan di MITEC iaitu goalball, catur, powerlifting, bola tampar duduk, bola keranjang kerusi roda, ping pong dan Boccia. 
 
Selain venue bagi sukan, MITEC juga menyediakan Pusat Media Utama (MPC) untuk  media tempatan dan luar negara sepanjang berlangsungnya temasya.

Saiz dan kemudahan MPC adalah sama seperti yang digunakan pada Sukan SEA ke-29 sebelum ini dengan menyediakan kemudahan wifi, talian internet dan kemudahan tempat bekerja selain makanan dan minuman ringan.

Lebih 800 petugas media dari kedua-dua media cetak dan elektronik serta portal atas talian telah mendaftar untuk temasya berkenaan.


Dalam pada itu, YB Brig Jen Khairy melaungkan keyakinan bahawa kontijen negara mampu melepasi sasaran 103 pingat emas.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan,  kontinjen negara tidak disasarkan untuk muncul juara keseluruhan kerana mengambil kira tentangan sengit yang dijangka hadir dari kontijen Thailand dan Indonesia.

“Dengan sasaran 103 emas, kita tidak letak sasaran juara  tetapi dengan semangat Sukan SEA dan kelebihan sebagai tuan rumah, saya percaya kita boleh lepasi sasaran itu dan kemudiannya memberi saingan kepada Indonesia atau Thailand yang meletak sasaran lebih kurang sama atau sedikit lebih dari kita. 
 
“Bagi Sukan Para ASEAN, kita lebih realistik.Apa pun, saya yakin dengan sokongan padu seluruh penyokong Team Mas, atlet kita akan berikan prestasi terbaik dan seterusnya kita boleh saingi Indonesia atau Thailand (untuk juara keseluruhan),” kata Khairy.

Di Singapura pada 2015, Malaysia menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa. Thailand unggul selaku juara dengan 95 emas, 76 perak dan 79 gangsa manakala Indonesia pula di tempat kedua dengan 81 emas, 74 perak dan 63 gangsa. 

 
Sebanyak 16 acara dan 368 emas dipertandingkan pada temasya kali ini. Sukan tersebut termasuk 16 memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, berbasikal, bolasepak 5 sebalah, bolasepak CP, goalball, powerlifting, renang, tenpin boling, ping pong, bola tampar, bola keranjang dan tenis berkerusi roda.
- Advertisement -