Tuan rumah sukan Para ASEAN Vietnam mengesahkan hanya 11 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada temasya sukan yang memasuki edisi ke-11 di Hanoi pada Disember ini.
Meskipun terdapat permintaan untuk penambahan empat lagi sukan, Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam (VIEAPGOC) telah memuktamadkan jumlah sukan yang akan dipertandingkan kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) secara rasmi.
Menerusi kenyataan media VIEAPGOC, empat sukan tambahan yang dicadangkan oleh Lembaga Gabenor (BoG) APSF tidak dapat dimasukkan memandangkan kerajaan Vietnam dan pihak berkuasa berkaitan tidak dapat memenuhi cadangan itu atas faktor ekonomi serta kesukaran untuk menyediakan venue pertandingan serta kemudahan susulan pandemik Covid 19.
Empat sukan tambahan yang dicadangkan oleh BoG APSF adalah bola keranjang kerusi roda, bola sepak cerebral palsy (bola sepak CP), berbasikal dan bola tampar duduk berdasarkan dapatan akhir penyataan minat (EOI) mengisytiharkan bahawa empat sukan itu melepasi kriteria pemilihan dengan lebih empat negara menyokong kemasukan sukan itu.
BoG APSF pada Februari lalu telah mengesahkan 11 sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Para ASEAN 2021 iaitu ;olahraga, badminton, renang, pingpong, catur, powerlifting, boccia, judo, goalball, tenis berkerusi roda dan memanah.
Vietnam menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukan Para ASEAN untuk kali kedua selepas 18 tahun, dimana kali terakhir mereka menganjurkan temasya ini adalah edisi kedua pada 2003 dengan lima sukan dipertandingka ketika itu.