Ia adalah kemenangan kedua buat skuad Nguyen Huu Thang itu yang sebelum ini membuka tirai dengan kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste pada Selasa.
Skuad B-22 Vietnam yang akan beraksi di pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 di China tahun depan bermula dengan agresif sejak sepak mula dan beberapa kali mengancam pintu gol Kemboja menerusi gandingan tiga serangkai di barisan depan Nguyen Van Toan, Nguyen Cong Phuong dan Ha Duc Chinh.
Setelah berjaya menahan asakan dan mengimbangi permainan di sepanjang separuh masa pertama, hasrat Kemboja untuk masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri bagaimanapun tidak kesampaian apabila Vietnam memecah kebuntuan pada masa kecederaan menerusi percubaan Cong Phuong setelah menerima hantaran Van Toan.
Vietnam tampil dengan lebih agresif di separuh masa kedua dan berjaya menambah tiga lagi gol dalam masa enam minit bermula dengan jaringan Nguyen Quang Hai yang menguis masuk sepakan percuma rakan sepasukan pada minit ke-70.
Dua minit kemudian sepakan percuma cantik Cong Phuong mengegar jaring Kemboja buat kali ketiga tanpa langsung dapat diselamatkan penjaga gol, Um Serei Rath.
Pemain gantian, Ho Tuan Tai melengkapkan kemenangan Vietnam dengan jaringan keempat pada minit ke-76 sebelum Kemboja mendapat jaringan saguhati pada minit ke-83 menerusi sepakan penalti Nen Sothearoth.
Bagi Kemboja, ia adalah kekalahan kedua mereka setelah tewas kepada Filipina pada aksi pembukaan.
Aksi seterusnya bagi Vietnam adalah menentang Filipina pada 20 Ogos di Stadium Shah Alam manakala Kemboja berdepan juara bertahan Thailand di Stadium Selayang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
NGUYEN HUU THANG
Saya cukup berpuas hati dengan kemenangan ini, pemain telah berikan aksi terbaik. Mereka tidak berpuas hati dengan satu gol dan mengekalkan rentak untuk meruntuhkan kekebalan Kemboja dan menambah tiga lagi jaringan walaupun Kemboja pada satu ketika nampak begitu liat. Saya tidak boleh meminta lebih dari ini. Dalam masa sama kami perlu lebih tajam di barisan depan dan saya harap momentum ini dapat dikekalkan dalam perlawanan seterusnya.
ANDRADE VITORINO
Kekalahan ini mengecewakan, tiada siapa mahu bermain untuk kalah. Kami datang dengan satu harapan besar dan ia tidak mudah apabila berada di dalam satu kumpulan sukar. Semua pasukan bukan calang-calang tapi pemain muda saya sudah cuba yang terbaik untuk menyaingi. Kami berjaya mengikat Vietnam sehingga minit akhir separuh masa dan mungkin jika kedudukan kekal seri menuju ke separuh masa kedua, motivasi pemain kami berbeza. Vietnam menghukum kekurangan pengalaman kami di pertahanan dan ianya sukar, gol kedua itu menyebabkan tumpuan terjejas secara keseluruhan.