29th SEA Games KL2017 Women's Football - Vietnam vs Myanmar
Vietnam yang merupakan pemenang pingat perak edisi 2013 akan menentang juara bertahan Thailand di Stadium Shah Alam dalam aksi seterusnya.

Vietnam melonjak ke tangga teratas saingan bolasepak wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah menewaskan Myanmar 3-1 di Stadium Universiti Malaya, pada Ahad (20 Ogos).

Skuad bimbingan Mai Duc Hung itu menerajui kedudukan dengan enam mata hasil dua kemenangan dari dua perlawanan. Rabu lalu, mereka menewaskan Filipina 3-0.

Nyata, kehadiran penyokong yang sama ramai buat kedua-dua pasukan membakar semangat masing-masing untuk memburu jaringan awal dan ianya Vietnam yang terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-17 menerusi Pham Hai Yen yang memanfaatkan kelekaan di pertahanan Myanmar.

Myanmar cuba menjelmakan kebangkitan di separuh masa kedua dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 setelah Win Theingi Tun menyudahkan hantaran cantik Naw Arlo Wer Phaw.

Begitupun ia hanya sementara apabila Vietnam kembali merebut pendahuluan sepuluh minit kemudian menerusi percubaan dari luar kotak penalti Nguyen Thi Bich Thuy sebelum Huynh Nhu menjaringkan gol ketiga pada minit ke-82 sekaligus memastikan tiga mata buat Vietnam.

29th SEA Games KL2017 Women's Football - Vietnam vs Myanmar

Vietnam yang merupakan pemenang pingat perak edisi 2013 akan menentang juara bertahan Thailand di Stadium Shah Alam dalam aksi seterusnya manakala Myanmar akan berdepan Filipina di Stadium UM, kedua-duanya pada 22 Ogos.

Untuk rekod, saingan bolasepak wanita yang membabitkan lima pasukan hanya berlangsung secara liga sepusingan (round robin).

 

29th SEA Games KL2017 Women's Football - Vietnam vs Myanmar

Jurulatih Myanmar (Reijners Roger Johannes Joseph) :
Bagi saya, ia adalah keputusan yang dianggap tidak mengejutkan jika mengambil kira pada kekuatan lawan. Memang mengecewakan, tetapi kami menberi tentangan. Kami tidak bermain baik di separuh masa pertama dan bernasib baik untuk tidak ketinggalan 2-0. Kami lebih menguasai bola di separuh masa kedua dan ini memberi peluang kepada kami untuk cuba bangkit tetapi selepas itu kami gagal kekalkan momentum.

Saya beritahu pemain saya pada separuh masa pertama, ini bukan perlawanan yang dipenuhi peluang, tetapi perlawanan yang ada satu detik dan mereka perlu mencipta detik itu. Mereka berjaya cipta detik itu dengan dapatkan gol penyamaan tetapi kita perlu akur, Vietnam bermain lebih baik.

 

Jurulatih Vietnam, Mai Duc Hung :
Kami turun dengan misi mahu berikan yang terbaik pada setiap perlawanan, dan keputusan akan datang dengan sendiri. Moral pemain tidak terjejas walaupun pada satu ketika Myanmar cuba bangkit dengan melancarkan beberapa serangan dan mendapatkan gol penyamaan. Mereka tenang dan kembali mendapatkan rentak. Mereka bermain dengan begitu yakin. Ia satu perlawanan penting buat kedua-dua pasukan jika mahu memburu emas dan saya cukup gembira kami kekalkan rekod kemenangan.

– OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -