Walaupun baru beberapa hari mengendalikan latihan pusat skuad kebangsaan, Nelo Vinganda pantas mengerti betapa Liga Malaysia gagal melahirkan lebih ramai penyerang tempatan yang bagus disebabkan kebanjiran penyerang import.
Dari pasukan pencabar kejuaraan seperti Johor Darul Takzim, Kedah dan Pahang sehinggalah pasukan bergelut di zon penyingkiran seperti Melaka dan Pulau Pinang, rata-ratanya mempertaruhkan dua penyerang import tatkala penyerang tempatan jarang sekali mendapat peluang membarisi kesebelasan.
Begitupun, Vinganda tidak mahu mengeluh dengan situasi itu kerana menurutnya memang menjadi kelaziman di mana-mana negara lain yang mengutamakan pengambilan pemain-pemain import untuk mengetuai jentera serangan.
“Pilihan adalah terhad buat masa ini kerana saya diberitahu ramai penyerang-penyerang muda bagus dalam negara tidak mendapat peluang beraksi ekoran kehadiran pemain import. Kami perlu mencari jalan, bukan mengeluh kerana ini bukan masalah baru,” kata Vingada.
Ketiadaan penyerang yang berkualiti menyaksikan Vingada hanya mempunyai Ahmad Hazwan Bakri (gambar utama) dan dua pemain berstatus veteran iaitu Safee Sali dan Amri Yahyah untuk disandarkan harapan.
Kelibat pemain-pemain yang pernah meletup namanya suatu masa dahulu seperti Abdul Hadi Yahya, Norsharul Idlan Talaha, Norfarhan Mohamad serta penyerang yang dilabel sebagai masa depan negara seperti Izzaq Faris Ramlan dan A.Tamil Arasu semuanya tenggelam dan ibarat sudah hilang dari radar.
Dalam pada itu, Vinganda turut menyatakan bahawa dia bersedia memberi lebih kepercayaan kepada pemain-pemain muda dan baru meskipun mereka tidak mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa antaranya Faisal Rosli (Pahang) dan Nazrin Shamsul Bahari (PKNS FC) yang telah dipanggil menggantikan dua pemain JDT, Fadly Mazlan dan Azrif Nazrulhaq yang mengalami kecederaan.
“Ia bukan satu perjudian, tetapi kerana mereka layak. Ada kalanya pemain yang tidak pernah dipanggil, tidak berpengalaman mampu memberikan aksi yang lebih baik. Hakikatnya tidak banyak beza antara mereka, keupayaan mereka setara malah pengalaman tidak akan datang dengan sendiri jika tidak diberi peluang,” kata Vinganda lagi.
Pengendali dari Portugal itu ketika ini sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan yang dijadual berlangsung di Larkin pada 13 Jun depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN