Jurulatih skuad bolasepak kebangsaan, Nelo Vingada menyifatkan hilang fokus adalah punca kekalahan 1-2 kepada Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2017 di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunus, Larkin pada Selasa.
Di sebalik mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, Harimau Malaya gagal mempertahankan kelebihan itu sebaliknya memberi ruang kepada Lubnan menyamakan kedudukan dan meraih jaringan kemenangan pada saat akhir permainan sekaligus menyaksikan Vingada gagal meraih keputusan positif dalam ujian sulungnya.
Kekecewaan jelas terpancar di wajah pengendali dari Portugal itu, “Sudah tentu saya tidak gembira dengan keputusan ini, dan tiada siapapun berhak untuk gembira kerana kami dibolosi pada saat akhir. Pemain telah bermain mengikut arahan, bertahan dengan baik sepanjang permainan tetapi sesaat kelekaan memberi ruang kepada mereka menghukum kita.”
Pada perlawanan itu, Mahali Jasuli menceriakan kira-kira 6,000 penyokong skuad negara apabila meletakkan Malaysia 1-0 di hadapan pada minit ke-43 setelah memanfaatkan kesilapan penjaga gol Lubnan, Mehdi Kahlil.
Jaringan itu bagaimanapun gagal menyuntik lebih semangat untuk memburu jaringan tambahan sebaliknya Lubnan yang tampil lebih bernafsu di separuh masa kedua.
Skuad bimbingan Miodrag Radilovic itu melancarkan serangan bertali arus dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Nader Atar (m-47) serta Rabih Ataya (m-72) jika tidak kerana kecemerlangan Khairul Azhan Khalid yang tangkas menafikan percubaan-percubaan itu.
Kekebalan penjaga gol Selangor itu akhirnya runtuh pada minit ke-80 tatkala dia gagal menyelamatkan sepakan lencong cantik dari Ataya sekaligus menjadikan kedudukan 1-1 dan ketika kedua-dua pasukan hampir pasti berkongsi mata, Ataya muncul wira pasukannya apabila meledak jaringan kemenangan pada masa kecederaan.
Ia adalah kemenangan kedua buat Lubnan setelah terdahulu pada bulan Mac menewaskan Hong Kong 2-0.
Bagi kapten pasukan negara, Safiq Rahim, dia tidak mahu terus meratapi kekalahan ini dan mahu rakan sepasukan bangkit mencari tiga mata dalam aksi seterusnya menentang Hong Kong pada bulan September nanti.
“Ia pengalaman berguna buat kami dan kami tekad tidak mengulangi kesilapan sama pada perlawanan seterusnya. Saya yakin kami akan lebih memahami corak permainan diterapkan Vingada serta tampil dengan pretasi lebih baik, lebih mantap untuk memastikan kita kembali berada di landasan,” kata pemain itu yang kembali dari persaraan sejak Julai tahun lalu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN