Pengendali skuad bolasepak senior kebangsaan, Nelo Vingada tetap berpuas hati dan positif di sebalik kekalahan 1-2 kepada Syria dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, pada Selasa.
Di sebalik menterjemahkan aksi defensif mantap, Malaysia tewas menerusi dua jaringan lewat Almarmour Mohammad pada minit ke-81 dan Mohamad Rafat Mohtadi tiga minit kemudian sebelum mendapat jaringan saguhati menerusi penalti Darren Lok pada minit akhir perlawanan.
Ia adalah kekalahan kedua skuad negara di bawah kendalian Vingada setelah tewas aksi sulung pusingan kelayakan Piala Asia 2019 kepada Lubnan pada bulan Jun lalu.
“Kita hanya berlatih lima hari di Melaka, dari pemerhatian saya sepanjang latihan di sini ada peningkatan dan pemain-pemain mula menunjukkan perubahan ketara berbanding sesi latihan dan perlawanan sebelum ini (Lubnan).
“Jadi walaupun kita kalah ini tidak bermakna kita tidak bagus. Pemain-pemain bekerja keras, kita memegang bola dan menguasai separuh masa pertama serta awal separuh masa kedua, kita tewas kerana dua gol minit akhir. Berikan pemain sedikit masa dan kita akan mencatat keputusan lebih baik,” katanya.
Perlawanan Malaysia menentang Syria berlangsung pada ketika tumpuan peminat bolasepak tempatan terarah kepada langkahan skuad B-22 negara bimbingan Dato’ Ong Kim Swee yang sedang mengharungi kempen cemerlang di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ketika ini malah pada malam yang sama Khairul Hafiz Jantan dinobatkan sebagai raja pecut Asia Tenggara yang baru.
Namun, lebih 1,000 peminat masih hadir memberikan sokongan namun ianya Syria – pasukan di ranking ke-80 dunia yang bermula dengan meyakinkan menerusi beberapa gerakan dan percubaan yang memaksa pertahanan Malaysia diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak dan Shahrom Kalam untuk bekerja keras.
Perlawanan itu juga menyaksikan Vingada memberi penampilan antarabangsa pertama kepada pemain naturalisasi dari Pahang, Kiko Insa yang bergandingan dengan Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan Syazwan Zainon di barisan tengah.
Hanya selepas setengah jam perlawanan, Malaysia mula memberi saingan dan berjaya mengimbangi permainan dengan dua percubaan dari Baddrol Bakhtiar yang diselamatkan penjaga gol Syria, Ibrahim Alma.
Kredit juga buat Khairul Azhan Khalid yang bertindak cemerlang di gawang negara namun penjaga gol Selangor itu akhirnya tertewas pada minit ke-81 menerusi percubaan kencang jarak jauh Almarmour diikuti penyudah tenang Rafat setelah memperdayakan Aidil pada minit ke-84.
Darren menyudahkan penalti yang dihadiahkan setelah Wan Zack Haikal Wan Nor dijatuhkan pada masa kecederaan namun gol itu sudah terlewat untuk menjelmakan kebangkitan.
Aksi Malaysia selepas ini adalah menentang Macau (25 Ogos) dan Myanmar (29 Ogos) kedua-duanya di gelanggang lawan sebelum pulang ke tanah air untuk persiapan menentang Hong Kong dalam aksi kedua kelayakan Piala Asia pada 5 September. – OLEH MUHAMMAD AIMAN