Hanya dua hari selepas tiba di tanah air, pengendali baru Harimau Malaya, Nelson Vingada sudahpun mengumumkan senarai pertama pemain untuk menjalani latihan pusat skuad kebangsaan bermula 29 Mei ini.
Menariknya, nama empat bekas pemain yang mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa pada Julai tahun lalu – Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, S.Kunanlan dan Aidil Zafuan Abdul Radzak – turut tersenarai dalam barisan 26 pemain dinamakan pengendali dari Portugal itu.
Hanya dua pemain Pahang, Nor Azam Azih dan Wan Zaharulnizam Zakaria merupakan wajah baru dalam skuad tatkala tiada kejutan lain disaksikan dengan Vingada mengekalkan seramai 13 pemain dari skuad kendalian Dato’ Ong Kim Swee yang beraksi menentang Filipina pada Mac lalu.
Seramai 15 pemain akan melapor diri di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia pada 29 Mei manakala baki 11 pemain Johor Darul Takzim pula pada 2 Jun selepas berakhirnya tugasan bersama Harimau Selatan dalam saingan Piala AFC.
Aksi pertama skuad kebangsaan di bawah kendalian Vingada yang lebih dikenali sebagai The Professor adalah menentang Lubnan dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Larkin pada 13 Jun depan.
Sementara itu dalam sidang media pertamanya selaku pengendali pasukan kebangsaan di ibu negara, Vingada meminta peminat bolasepak tempatan untuk memberi peluang dan kepercayaan kepadanya bagi mengembalikan semula martabat dan maruah bolasepak negara.
“Saya bukan seseorang yang suka menjanjikan keputusan, ia adalah sesuatu yang subjektif justeru saya di sini dengan sasaran utama mahu memartabatkan semula bolasepak Malaysia. Sejujurnya saya tidak tahu sangat mengenai bolasepak anda, tetapi saya bersedia untuk melakukan apa sahaja yang terdaya untuk negara ini.
“Bagaimana pasukan anda sebelum ini adalah satu sejarah, bagus ataupun tidak saya tidak boleh merubahnya. Saya datang untuk merubah masa depan, kita bercakap tentang apa yang akan berlaku, bukan apa yang telah berlaku tetapi perlu sedar untuk merubahnya bukan mudah, malah mungkin mengambil masa.
“Jika lihat saingan kelayakan (Piala Asia) nanti, pada tahap di mana kita sekarang memang sesuatu yang sukar kerana Lubnan, Hong Kong mahupun Korea semuanya pasukan yang menunjukkan peningkatan, kita pula dilihat sebagai pencabar paling lemah (berdasarkan ranking),” ujar Vingada.
Pada sidang media yang turut dihadiri Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu, Vingada memberitahu selain Tan Cheng Hoe selaku penolongnya, dia akan turut dibantu dua jurulatih yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini iaitu Joao Arnaldo Correia De Carvalho serta Francisco Jose Bruto da Costa (jurulatih kecergasan) manakala bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz selaku jurulatih penjaga gol.
Tunku Ismail pula berkata, “Kita telah membawa seorang jurulatih yang mempunyai CV mantap, berpengalaman luas, yang bukan sahaja mampu mendidik pemain, tetapi merubah keseluruhan sistem dan membantu jurulatih tempatan mengembangkan potensi mereka.
“Kita tidak mencari kejayaan segera atau kejayaan jangka pendek, apa yang dilakukan ini adalah mengintai kejayaan jangka panjang yang akan menjadi kebanggaan semua, mahu mempunyai satu struktur profesional.
“Dengan mempunyai jurulatih terbaik dalam negara dan jurulatih dari luar negara, mempertemukan mereka, dan berkongsi ilmu masing-masing sudah tentu kita akan dapat satu hasil yang positif. Kita akan berusaha, tiada apa yang datang dengan mudah kerana sumber kita juga adalah terhad,” kata Tunku Mahkota Johor itu.
Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Tan Cheng Hoe dan Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
Senarai 26 pemain dipanggil Vingada untuk latihan pusat :
Penjaga gol : Khairul Azhan Khalid (Selangor), Hafizul Hakim (Perak), Izham Tarmizi (JDT)
Pertahanan : Rizal Ghazali, Khairul Helmi (Kedah), Matt Davies (Pahang), Shahrul Saad, Shahrom Kalam (Perak), Fazly Mazlan, S.Kunalan, Aidil Zafuan (JDT)
Tengah : Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Akram Mahinan (Kedah), Azam Azih, Wan Zaharulnizam, Ahmad Shamim Yahya (Pahang), Safiq Rahim, Mahali Jasuli, S.Chanturu, Azamudin Akil, Amirulhadi Zainal, Azrif Nasrulhaq (JDT)
Penyerang : Safee Sali (PKNS), Amri Yahyah (Selangor), Hazwan Bakri (JDT)