Penjenamaan semula yang dilakukan Espada Williams Racing musim ini menampakkan kematangan kepada pasukan yang semakin memberikan tekanan kepada pencabar mereka di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan mereka berharap untuk lebih konsisten apabila musim 2015 bersambung di Litar Stadium Syed Putra, Kangar, Perlis pada 15 dan 16 Ogos ini.
Persembahan dua pelumba mereka, Mohd Khairul Ikhwan Ajis dan Amirul Hakim Mohd Rizal dalam kategori WIRA tidak mengecewakan apabila mereka berjaya menempatkan diri dikalangan lima pelumba terbaik keseluruhan selapas separuh musim pertama.
Tidak dinafikan sememangnya nama kedua-dua pelumba ini bukanlah asing bagi kategori ini namun pastinya peranan dan kerjasama daripada pasukan turut menjadi faktor penting kepada peningkatan prestasi tahun ini.
Bagi Ikhwan, dia menyedari masih banyak yang perlu diperbaiki untuk bersaing dengan pelumba lain terutama pencabar utama Mohd Harith Farhan Baharin (Kozi YAM Honda Racing) yang mendominasi saingan ketika ini.
Bagaimanapun pelumba berusia 16 tahun itu percaya tidak ada perkara yang mustahil dengan saingan masih berbaki beberapa pusingan lagi.
âSaya akan cuba yang terbaik dan saya yakin mampu memberi tekanan kepada Harith memandangkan prestasi jentera juga semakin baik sejak pusingan di Kuala Terengganu tempoh hari.â
âDari situ kami sudah mampu untuk bersaing dalam kelompok hadapan pelumba di setiap perlumbaan,â jelas Ikhwan.
Tambah anak kelahiran Negeri Sembilan itu lagi kerjasamanya dengan rakan sepasukan Amirul begitu baik dan mereka berkongsi ilmu di antara satu sama lain menjadikan misi mereka tidak mustahil untuk dicapai.
âKerjasama kami amat baik. Sekiranya ada litar yang saya kurang mahir, Amirul akan membantu saya memahami litar terbabit begitu juga sebaliknya.â
âItu adalah antara kekuatan kami dan pastinya kami akan membuat percaturan terbaik dan bantu membantu untuk mengekang asakan pencabar lain.â
Ikhwan juga berterima kasih kepada seluruh pasukannya yang banyak bertungkus lumus menyediakan jentera terbaik musim ini dan memberinya motivasi.
Penghargaan yang sama juga dilahirkan Amirul yang percaya kerjasama yang lebih baik di dalam pasukan musim ini mendorong peningkatan prestasinya serta memberikan semangat baharu.
âSaya sangat gembira apabila pada pertengahan musim saya sudah mampu meraih kedudukan podium berbanding musim lalu yang tiada kemenangan podium.â
âRata-ratanya prestasi saya dan jentera makin meningkat dan diharap dapat dikekalkan sehingga ke penghujung musim,â kata Amirul.