Satu jaringan dan lima bantuan gol yang dilakukan tonggak pertahanan Melaka, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman pada musim ini diharap mampu meletakkannya sebagai Pertahanan Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual.
Jelas Amirul, tercalon dalam kategori Pertahanan Terbaik buat kali pertama tahun ini ibarat satu penghargaan kepada dirinya selepas berdepan musim 2020 yang cukup mencabar bersama Melaka.
Beraksi di bek kiri, pemain berusia 28 tahun ini menjadi tulang belakang kepada pasukan menerusi lima bantuan gol yang dilakukannya dalam saingan CIMB Liga Super2020 serta satu jaringan gol ketika menentang PDRM pada Mac lalu.
Menariknya, bekas pemain Felda United itu menjadi antara salah seorang pemain yang berjaya melakukan paling banyak bantuan gol selain Lee Tuck (Terengganu FC), Diogo Luis Santo (Johor Darul Ta’zim) dan Sandro da Silva (Selangor).
Namun, melihat kepada calon-calon iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT), Shahrul Saad (Perak), Shakir Hamzah (Kedah), Azmi Muslim (Pulau Pinang), Corbin Ong (JDT), Matthew Davies (JDT), Rafiuddin Roddin (Perak), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), dan Victor Nirennold (UiTM FC), Amirul menyifatkan persaingan pastinya sengit dan bukan mudah untuk menentukan siapakah yang benar-benar layak bergelar pemenang.
“Satu penghargaan sebenarnya kepada saya kerana sebelum ini saya tidak pernah tercalon, tetapi apabila dapat berada dalam kelompok 10 calon terbaik, ia seperti beri semangat baru untuk ssya buat lebih baik pada musim depan.
“Kita pun tahu musim 2020 sangat mencabar dan setiap pemain ada peluang masing-masing untuk tonjolkan prestasi terbaik dalam tempoh saingan liga yang singkat, jadi apabila dah tercalon, saya berasa sangat bersyukur dan saya sedar bukan mudah untuk menyaingi calon-calon lain.
“Macam saya, saya sentiasa ikut taktikal jurulatih, dan kalau beliau (Zainal Abidin Hassan) nak saya selalu bermain di depan, saya tiada masalah untuk selalu bantu di bahagian depan, tidak kira penat ke apa, saya buat sahaja yang terbaik untuk pasukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi kategori Penjaga Gol Terbaik pula, Samuel Somerville menganggap pencalonan kali ini begitu bermakna kerana menyifatkan musim 2020 adalah pencapaian terbaiknya bersama Pulau Pinang sehingga layak beraksi di saingan Liga Super 2021.
Bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ini hanya bolos 8 gol dalam aksi Liga Premier musim ini sekali gus meletakkan mereka di takhta liga untuk bergelar juara.
Namun, Somerville melihat antara calon yang menjadi kegemaran untuk berpeluang bergelar Penjaga Gol Terbaik 2020 adalah Farizal Marlias (JDT) berdasarkan pencapaiannya bersama Juara CIMB Liga Super itu pada musim ini selain lapan lagi calon lain yang mampu lakar kejutan iaitu Iqbal Suhimi (Kuching), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (PJ City FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Khairulazhan Khalid (Selangor), Remezey Che Ros (UKM FC), Sharbinee Allawee (Pahang), Suhaimi Husin (Terengganu FC II) dan Zamir Selamat (Kuala Lumpur).
“Satu langkah baharu untuk saya dalam industri ini apabila tercalon bersama nama-nama besar yang lain untuk kategori Penjaga Gol Terbaik dan semestinya ia takkan berlaku tanpa kerjasama pasukan sepanjang mengharungi musim 2020.
“Setiap pemain mestilah nak menang, tetapi untuk saya, saya tahu ramai lagi pencabar lain yang layak untuk menang, antaranya Farizal di mana saya tahu bagaimana beliau di atas padang dan selaku penjaga gol kebangsaan tidak mustahil beliau akan menjadi pilihan untuk menang.
“Tetapi, untuk saya, siapa pun yang akan menang nanti pastinya dia adalah yang benar-benar layak berdasarkan pencapaian yang telah dilakukan pada musim ini”, katanya.
ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.
Senarai 50 calon telah diumumkan membabitkan lima kategori yang melibatkan 40 pemain dan 10 jurulatih Liga Malaysia bagi bersaing untuk kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.
Pemenang bagi Anugerah Pasukan Terbaik yang turut dipertandingkan pula akan ditentukan oleh Jawatankuasa Teknikal.