Pemain nombor sebelas dunia, Son Wan Ho memastikan Puchong United BC terus menghimpit kedudukan Muar City BC selaku pendahulu Purple League apabila bersahaja menewaskan Ronald Susilo dan membantu kemenangan ke atas Ampang Jaya BC.
Ianya bukan sukar untuk Puchong United meneruskan aksi dominan di Sports Arena@Sentosa, dan segalanya tampak lancar buat mereka selepas Hsueh Hsuan Yi menghadiahkan pendahuluan 3-0 selepas menewaskan Syawal Ismail 11-6, 11-7, 11-6 dalam masa 25 minit.
Pasangan beregu campuran, Chen Wen Hsing/Yew Hong Kheng melebarkan kelebihan buat Puchong United menerusi kemenangan 11-8, 11-10, 11-3 ke atas Kuan Kam Chung/Ng Hui Ern, menjadikan kedudukan 6-0.
Kemenangan seharusnya menjadi milik Puchong United lebih awal namun Victor Ong yang berpasangan dengan Yoo Yeong Seong – pemain di ranking nombor satu dunia bagi acara beregu – bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan kepada Chin Chuan Jue/Kim Astrup Sorensen yang bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk menang 3-2.
Ini memerlukan Puchong mengharapkan kemenangan Wan Ho dan pemain itu memanfaatkan kelebihan usia 9 tahun untuk memaksa Ronald akhirnya akur dengan kekalahan 3-0 (11-9, 11-4, 11-7) dalam masa 26 minit.
“Ianya jelas Ronald dikekang faktor usia menjadikan Wan Ho kelihatan dominan melalui tenaga dan kelajuannya. Dia kelihatan gementar pada awal tapi dia cepat menyesuaikan diri untuk akhirnya tampil dengan aksi yang cukup.
“Kita boleh catat kemenangan sempurna tetapi kita lakukan kesilapan dalam acara beregu lelaki. Mereka dilihat banyak buat kesilapan mudah, hilang fokus dan benarkan lawan untuk ambil kesempatan. Mungkin kerana leka mahu tamatkan permainan dengan cepat selepas menang dua set pertama. Kita akan perbaiki kesilapan ini pada perlawanan akan datang,” ujar jurulatih Puchong United, Jiva Nair.
Kemenangan 3-1 yang dicatat Wan Yi Tang dalam acara perseorangan wanita melengkapkan keputusan 11-3 berpihak kepada Puchong United dan menyaksikan mereka melonjak ke tangga kedua, dibezakan dengan 28 perlawanan di belakang Muar City BC.
Tetapi pasukan dari Johor itu boleh menjarakkan semula kedudukan seandainya menewaskan Bangsar Hawks dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung lewat petang ini.