Perak meneruskan aksi cemerlang mereka musim ini apabila melakar kemenangan kelima dengan menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat pada Rabu.
Jaringan oleh dua pemain import dari Brazil, Wander Luiz Junior dan Gilmar da Silva membolehkan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic mengukuhkan cengkaman mereka di tangga ketiga dengan 16 mata, satu mata di belakang Pahang dan lima mata di belakang pendahulu, Johor Darul Takzim.
JDT seperti diduga terus unggul menerajui carta liga dengan 21 mata setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus menerusi dua jaringan bekas pemain Red Giants iaitu Ahmad Hazwan Bakri (m-61) dan Nazmi Faiz Mansor (m-67).
Kekalahan kelima dari lapan perlawanan menyaksikan Selangor bimbingan Nazliazmi Nasir tergelincir ke tangga kesepuluh liga dengan sembilan mata.
Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, tuan rumah KL mencatat kemenangan ketiga musim ini setelah menewaskan PKNS FC bimbingan Datuk K.Rajagobal 2-1 menerusi jaringan Paolo Josue (m-9) dan Guilherme De Paula pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Ia membantu skuad warga kota bimbingan Fabio Maciel da Silva melonjak ke tangga kelapan dengan 10 mata manakala PKNS FC pula kekal di tangga keenam dengan 11 mata.
Dalam satu lagi aksi, PKNP FC mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kelantan di Stadium Negeri Batu Kawan menerusi jaringan Hafiz Ramadhan (m-26) dan Ritus Kjauklis (m-30).
Ia adalah kekalahan kelima buat Kelantan sekaligus menyaksikan Fajr Ibrahim masih buntu memburu kemenangan pertama di bawah kendaliannya.
PKNP FC melonjak ke tangga ketujuh dengan 10 mata manakala Kelantan pula kekal di tangga kesebelas dengan lima mata, sama mata dengan pasukan tangga tercorot Negeri Sembilan namun dipisahkan beza jaringan.
Negeri Sembilan pada Selasa bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang Kedah di Alor Star manakala Pahang menewaskan Terengganu FC bimbingan Irfan Bakti 3-1 di Kuala Terengganu.OLEH MUHD AIMANÂ