Usia muda, bukan penghalang buat bekas ketua pasukan Kuantan Rangers, Akhmall Abdullah untuk menamatkan profesyen sebagai pemain dan beralih ke bidang kejurulatihan sepenuh masa.
Jika sehingga bulan lalu, Akhmall atau Weager masih lagi memakai lilitan di lengan mengetuai cabaran skuad Kuantan Rangers di saingan Liga Futsal Kebangsaan, kini dia semakin selesa untuk memainkan peranan selaku salah seorang tenaga jurulatih dalam skuad akademi KRFC.
Memang, transisi karier berlaku begitu pantas, namun Weager tidak menyesal dengan pilihannya. Baginya, ia satu penghormatan untuk mendapat ruang dan platform yang cukup ideal untuk mencurahkan ilmu kepada generasi baru.
“Saya akui pada mulanya berbelah bahagi untuk terima atau tidak tawaran menjadi jurulatih, ikutkan hati nak terus main tapi saya fikir peluang sudah tersedia untuk saya menurunkan ilmu kepada adik-adik. Ilmu adalah untuk dikongsi bukan disimpan. Usia tidak menjadi masalah pun sebenarnya.
“Memang itu juga niat saya ketika mula-mula buat lesen kejurulatihan level 1 pada November 2016 dulu, untuk terus berbakti kepada sukan futsal bila sudah tidak lagi bermain. Keluarga banyak menyokong usaha saya ini.
Lagipun pada saya, ianya menunjukkan betapa pihak pengurusan dan YAM Tengku Arif Temenggong sebagai Presiden KRFC mempercayai kebolehan anak tempatan dengan memberi ruang kepada muka baharu seperti saya untuk mencipta nama dalam bidang kejurulatihan pula. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan,” kata Weager yang akan genap 31 tahun bulan depan.
Sasaran awal Weager ketika ini adalah mahu memperkenalkan dan mendedahkan pemain-pemain dengan futsal moden yang lebih pantas serta memerlukan ketahanan mental dan fizikal, keyakinan diri yang tinggi seterusnya menjadikan pemain-pemain ini mempunyai material dan kualiti yang diperlukan untuk menyarung jersi kebangsaan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN