Oleh Muhammad Aiman
Nasib berbeza dialami dua pemain negara, Low Wee Wern dan Ivan Yuen dalam aksi final Kejohanan Skuash Universiti Dunia yang menutup tirai di Pusat Skuash Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Wee Wern, pemain wanita nombor tiga negara menepati ramalan apabila muncul juara dengan menewaskan pemain Hong Kong, Tong Tsz Wing.
Pemain di kedudukan ke-27 dunia itu menafikan hasrat Tsz Wing untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila bangkit dari ketinggalan 4-6 di set keempat untuk mencatat kemenangan 11-3, 8-11, 11-3, 11-8.
Ia juga adalah kejuaraan pertama dirangkul Wee Wern sejak kembali pulih dari kecederaan lutut penghujung tahun lalu.
âIanya satu kepuasan bagi saya setelah melalui saat sukar selama setahun setengah kerana kecederaan. Ia bukan satu perlawanan mudah, Tsz Wing cuba bangkit, dia memberi tentangan hebat. Bermain demi negara adalah sangat jauh berbeza berbanding bermain untuk diri sendiri di Jelajah PSA ini dan saya gembira berjaya memenanginya untuk negara saya,â ujar pelajar Kolej Damansara Utama itu.
Hasrat Malaysia untuk merangkul kejuaraan berganda bagaimanapun tidak kesampaian apabila Ivan Yuen tewas kepada pilihan utama dari Hong Kong, Yip Tsz Fung 11-3, 11-9, 11-4 dalam perlawanan akhir kategori lelaki.
Kejohanan akan bersambung dengan berlangsungnya acara berpasukan campuran pada Jumaat, di mana Malaysia diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang Hong Kong.Â