Oleh Muhammad Aiman
Pemain nombor dua kebangsaan, Low Wee Wern dikerah bekerja keras untuk dua kali bangkit daripada ketinggalan sebelum dapat melepasi halangan pusingan kelayakan pertama di Kejohanan Skuash Terbuka China yang berlangsung di Shanghai.
Bekas pemain nombor lima dunia itu yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka Hong Kong minggu lalu, bergelut dalam pertarungan lima set sebelum mencatat kemenangan 11-13, 11-7, 6-11, 11-5, 11-8 ke atas pemain di ranking ke-30 dunia, Fiona Moverley dari England.
Wee Wern, juara tiga kali kejohanan itu pada 2011, 2012 dan 2014 akan berdepan pemain Hong Kong, Joey Chan yang menewaskan rakan senegara Liu Tsz Ling bagi menempah tempat di undian utama.Â
Untuk rekod, pemain berusia 26 tahun itu memerlukan slot wildcard untuk beraksi di pusingan kelayakan setelah tergelincir ke ranking ke-31 dunia gara-gara tersisih hampir keseluruhan aksi tahun lepas kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
“Ia adalah satu perlawanan yang cukup mendebarkan. Saya tidak pernah menentang Fiona sebelum ini tapi dia telah mencatat beberapa keputusan yang bagus jadi saya tahu ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar.
“Saya ketinggalan untuk hampir keseluruhan permainan dan pukulannya juga agak tepat pada tiga set yang pertama. Tapi saya berjaya untuk mendapatkan rentak dan memperkemas permainan saya bagi memenangi perlawanan ini,” kata Wee Wern.
Antara aksi tumpuan lain di pusingan kelayakan pertama menyaksikan pemain Denmark di ranking ke-24 dunia, Line Hansen tewas mengejut 5-11, 11-6, 6-11, 6-11 kepada pemain ranking ke-35 dunia dari Mesir, Salma Hany.
Dalam aksi kategori lelaki pula, pemain nombor satu negara Nafiizwan Adnan turut diheret beraksi lima set sebelum dapat menewaskan rakan senegara Ivan Yuen 6-11, 12-10, 11-5, 8-11, 11-3 dan akan menentang pemain Mexico Cesar Salazar dalam aksi berikutnya.