Oleh Muhammad Aiman
Persiapan Malaysia untuk menghadapi Kejohanan Skuash Berpasukan Dunia minggu depan menerima satu lagi tamparan setelah pemain nombor tiga, Low Wee Wern membuat keputusan menarik diri dari skuad kebangsaan.
Pemain berusia 26 tahun itu yang menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di lutut kirinya tahun lalu, telah melakukan imbasan rutin Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Pulau Pinang pada Khamis dan diberitahu bahawa ‘ligamennya tidak dapat dikesan’.
Justeru, pakar perubatan menasihatkan pemain nombor 27 dunia itu yang sedang berusaha untuk kembali ke prestasi sebenarnya, agar melupakan kejohanan itu yang akan berlangsung di Paris, bermula Isnin.
“Agak mengejutkan sebenarnya, baru beberapa bulan lepas saya melakukan imbasan dan ACL saya dapat dikesan. Imbasan terbaru ini tidak dapat mengesan ACL saya, yang mana bermakna kemungkinan besar saya telah bermain tanpa ligamen tersebut sejak beberapa bulan lalu.
“Doktor sendiri pelik dengan situasi ini, nampaknya saya perlu menjalani pembedahan sekali lagi. Ia satu tamparan besar buat saya kerana saya merasakan saya dalam landasan baik untuk memulihkan prestasi malah telah beraksi cemerlang di kejohanan kebangsaan baru-baru ini. Buat masa ini saya tidak boleh bermain di kejohanan dunia,” ujar Wee Wern.
Penarikan diri Wee Wern menyaksikan pemain nombor lima negara, Rachel Arnold telah dipanggil sebagai pengganti, bagi mengiringi pemain nombor lima dunia, Dato’ Nicol David, Delia Arnold (nombor 15 dunia) dan pemain remaja terbaik negara ketika ini, S.Sivasangari.
Sebelum ini, peluang Malaysia untuk setidak-tidaknya mengulangi pencapaian melangkah ke perlawanan akhir dua tahun lalu di Kanada dilihat berada dalam keraguan berikutan kemerosotan prestasi Nicol sepanjang tahun ini.
Perkhabaran terbaru ini juga bakal menyaksikan Malaysia kehilangan status sebagai pilihan ketiga kejohanan sekaligus memaksa Persatuan Raket Skuash Malaysia (SRAM) untuk menilai semula sasaran melangkah ke separuh akhir.
Malaysia akan membuka tirai saingan Kejohanan Dunia dengan menentang Belanda pada Isnin, diikuti juara sembilan kali Australia dan Austria.