Bekas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan dan Perak, Karl-Heinz Weigang meninggal dunia di negaranya Jerman akibat serangan jantung.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada Bernama.
Weigang, 81, mengukir nama dalam arena bola sepak Malaysia apabila berjaya membimbing skuad kebangsaan melayakkan diri ke Olimpik Moscow 1980, namun Malaysia menarik diri sebagai protes terhadap Rusia yang bertindak menyerang Afghanistan.
Di bawah bimbingannya juga, Perak muncul juara Piala Malaysia edisi 1998 dan 2000.
Weigang kembali membimbing skuad The Bos Gaurus selaku ketua jurulatih dan ketua pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) tahun lepas, namun menamatkan kontraknya pada Februari tahun ini susulan prestasi tidak menentu skuad Perak. – BERNAMA