Oleh Muhammad Aiman
Perenang muda meningkat naik, Welson Sim melakar sensasi buat Malaysia di Monaco apabila menyerlahkan potensi dalam penyertaan pertamanya di Jelajah Mare Nostrum dengan meraih pingat perak acara 400m gaya bebas A.
Welson yang dalam persiapan untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan, mengetepikan keletihan akibat tempoh penerbangan panjang untuk menamatkan saingan di belakang pemenang pingat emas Devon Brown dari Afrika Selatan dengan catatan masa kedua terpantas peribadinya 3:50.66s.
Catatan impresif atlet berusia 19 tahun itu hanya 0.23s dipisahkan dari rekod kebangsaan 3:50.33s miliknya yang direkodkan di Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan Singapura pada Mac lalu yang menghadiahkannya tiket secara merit ke Rio.
Hasrat Welson untuk menyerlah dalam acara 100m gaya bebas A bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia sekadar berkesudahan di tempat kelapan dengan catatan masa 51.16s.Ā
Sementara itu, turut mencuri tumpuan di Monaco adalah perenang muda berusia 18 tahun Phee Jinq En yang menamatkan aksi final 100m kuak dada wanita A di kedudukan podium setelah meraih pingat perak.
Jinq En yang mara ke final dengan catatan 1:11.02s di separuh akhir memperbaiki kuakkannya di final untuk melakar Ā 1:09.18s, dan menamatkan saingan di belakang perenang Kanada Kierra Smith yang merangkul emas dengan catatan 1:08.4s.
Ia jelas pencapaian mengagumkan buat Jinq En yang pada hakikatnya merupakan perenang negara paling āsibukā pada Sabtu apatah lagi dia turut mengambil bahagian dalam āSpeed Tournamentā (hanya membabitkan 50m kuak dada, gaya bebas, kuak lentang dan kuak kupu-kupu).
Pemenang pingat emas di Sukan Sea Singapura 2015 itu mencatat masa terpantas bagi pusingan kelayakan, 16 terakhir dan suku akhir bagi acara 50m kuak dada.
Seorang lagi perenang negara, Erika Kong pula sekadar menduduki tempat ketujuh dalam acara 100m kuak dada B dengan catatan 1:13.93s.
Jurulatih pasukan renang kebangsaan, Paul Thomas Birmingham berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan atletnya yang berada dalam siri jelajah Eropah sejak tiga hari lalu.
āIa satu pengalaman bagus buat perenang kita walaupun mereka masih keletihan selepas perjalanan yang panjang. Kuakkan Welson pada 200m cukup bertenaga, perancangannya adalah untuk kuak lebih laju pada 200m pertama, tapi oleh kerana masih terasa penat, jadi kita kembali kepada perancangan sebelum ini.
āManakala Jinq En pula berenang dalam tiga acara 50m kuak dada dan dua 100m, jadi dalam kepenatan itu untuk dia meraih pingat perak sudah tentunya sesuatu yang bagus,ā kata Birmingham.Ā
Destinasi seterusnya dalam Jelajah Mare Nostrum adalah Canet-en-Roussillon, Perancis pada 8 dan 9 Jun, diikuti Barcelona, Sepanyol pada 11 dan 12 Jun.