Oleh Muhammad Aiman
Perenang sensasi negara, Welson Sim mengakhiri cabaran di temasya olimpik pertamanya dengan memperbaharui catatan masa terbaik peribadi dalam acara 1,500m lelaki gaya bebas di Pusat Akuatik Olimpik, pada Sabtu.
Atlet berusia 19 tahun dari Sarawak itu melakukan 15:32.63s, mengatasi catatan terbaik peribadinya sebelum ini 15:32.67s yang direkodkan ketika beraksi di Jelajah Mare-Nostrum di Barcelona dua bulan lalu.
Meskipun gagal dalam misi memecahkan rekod kebangsaan berusia 25 tahun milik Jefrey Ong (15:23.61s), Welson pada hakikatnya terus menunjukkan peningkatan kerana ini adalah kali ketiga dia memperbaharui masa peribadi bagi acara itu dalam tempoh kurang setahun. Â Â
“Saya gembira dapat lepasi masa terbaik peribadi, walaupun ini bukan acara kegemaran saya. Ini adalah penampilan pertama saya di olimpik dan saya berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan di Rio.
“Walaupun gagal pecahkan mana-mana rekod di sini, saya tahu saya telah berikan yang terbaik, telah bekerja keras dan sudah tentunya saya berharap pengalaman di Rio akan banyak mengajar saya dalam terus melangkah,” ujar Welson yang turut bertanding dalam acara 200m dan 400m gaya bebas.
Sebelum ini, dalam acara 200m, Welson menjadi satu-satunya atlet negara yang berupaya memecahkan atau menyamai rekod kebangsaan dengan catatan 1:47.67s – menyamai rekod kebangsaan miliknya namun bagi acara 400m dia sekadar mampu melakar 3:51.57s. Â