Oleh Muhammad Aiman
Atlet wushu negara, Wong Weng Son memastikan Malaysia membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas dari Kejohanan Wushu Asia setelah memenangi acara Jiansu (pedang dua mata) lelaki pada hari terakhir kejohanan di Taoyuan, Taiwan pada Selasa.
Dalam aksi final, Weng Son mencatat kemenangan tipis dengan hanya kelebihan 0.01 mata apabila mengumpul 9.67 mata, menewaskan atlet Jepun, Tomoya Okawa (9.66 mata) manakala atlet Macau, Chu Chi Wai yang merupakan juara dunia 2011 berpuas hati dengan gangsa (9.65 mata).
Pingat emas atlet berusia 26 tahun dari Seremban itu bermakna Malaysia menutup cabaran selama empat hari di Taiwan dengan meraih satu emas, empat perak serta tiga gangsa dan menduduki tempat kelima secara keseluruhan.
Terdahulu, pasukan negara meraih empat perak dan tiga gangsa menerusi disiplin Taolu.
Diana Bong, juara dunia pada 2013 menghadiahkan pingat pertama buat Malaysia apabila meraih perak dalam acara Nanquan wanita sebelum menambah satu lagi menerusi acara Nangun. Â Â
Dua lagi pingat perak disumbangkan oleh pemenang emas Sukan Sea Singapura 2015, Loh Jack Chang menerusi acara Taijiquan lelaki dan Chai Fong Wei dari acara Daoshu wanita.
Yeap Wai Kin pula memenangi dua pingat gangsa menerusi acara Qiangshu dan Changquan lelaki sementara satu lagi gangsa disumbangkan Phoon Eyin dari acara Jiangsu wanita.
Jurulatih pasukan kebangsaan, Lim Yew Fai berkata, âKita hanya menang satu emas, tetapi keseluruhannya kita berada di kedudukan lima teratas. Malah atlet kita sebenarnya mempunyai peluang untuk meraih emas, cuma kali ini bukan rezeki mereka.
âWai Kin adalah contoh terbaik, dia memenangi dua gangsa. Ia boleh dikatakan sebagai satu pencapaian yang cukup baik memandangkan dia sudah begitu lama tidak berada dalam skuad elit. Dia meraih gangsa acara Changquan, ia bukannya mudah meraih pingat dalam acara ini.â
China muncul juara keseluruhan dengan kutipan 11 emas, diikuti Hong Kong (3-3-5), Macau (2-1-4) dan Taiwan (1-4-4).