Oleh Muhammad Aiman
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis membuat keputusan mengenakan tambahan penggantungan tiga lagi perlawanan kepada pengendali Pulau Pinang, Ashley Westwood.
Westwood diperintah meninggalkan padang selepas bertelagah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil di pertengahan separuh masa kedua ketika pasukannya tewas kepada Perak pada 27 Januari lalu di gelanggang sendiri.
Pengendali dari England itu sudahpun menjalani penggantungan automatik satu perlawanan ketika Pulau Pinang bertandang ke Kuala Terengganu untuk menentang T-Team pada 4 Februari lalu, dan keputusan terbaru ini bermakna Westwood akan terlepas keseluruhan aksi Liga Super sang Harimau Kumbang untuk bulan Februari.
“Ashley Westwood didapati bersalah kerana melanggar kod tatatertib FAM berkenaan salah laku terhadap pegawai perlawanan (kelakuan menyinggung dan fairplay) serta salah laku terhadap pihak lawan dan dikenakan hukuman gantung empat perlawanan termasuk satu perlawanan secara automatik.”
“Selain itu, Westwood turut dikenakan denda RM2,000, diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahannya,” menurut kenyataan Dato’ Kang Hwee Gee, pengerusi jawatankuasa tatatertib FAM.
Tiga aksi lain yang mana Westwood tidak dapat bersama pasukannya adalah ketika berdepan Sarawak di Stadium Negeri Batu Kawan (11 Februari), Pahang di Stadium Darulmakmur (18 Februari) dan Kedah di Stadium Darul Aman (25 Februari) – dia hanya akan kembali ketika Pulau Pinang melayan kunjungan Melaka pada 1 Mac.
Hukuman terhadap Westwood bagaimanapun tidak membabitkan saingan Piala FA dan dia bebas mengendalikan pasukannya apabila mereka menentang MPKB-BRI-UBES dalam aksi pusingan kedua pada 15 Februari nanti di Kota Bharu.