Oleh Muhammad Aiman

Setelah memberi peluang sehingga 10 perlawanan, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) akhirnya menamatkan kontrak pengendalinya, Ashley Westwood berikutan prestasi buruk ditunjukkan pasukan itu dalam Liga Malaysia.

Presiden FAP, Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Westwood mengenai halatuju pasukan justeru mencapai kata sepakat bahawa ini adalah keputusan terbaik.

Westwood yang merupakan bekas jurulatih kelab India, Bengaluru FC dilantik membimbing Harimau Kumbang pada penghujung tahun lalu.  

Untuk sementara waktu, tempat pengendali dari England itu akan dipangku oleh penolong jurulatih, Darren Read tetapi nama dua pengendali berprofil tinggi, Azraai Khor Abdullah dan Zainal Abidin Hassan sudah mula dikaitkan sebagai pengganti.

Azraai yang membimbing Kedah menjuarai double-treble pada 2007 dan 2008 tidak mempunyai pasukan sejak meninggalkan Kelantan pada Julai 2015 manakala Zainal Abidin pula pernah membimbing Selangor pada 2016 sebelum dipecat pada pertengahan musim.

Pulau Pinang setakat ini belum menang dalam lapan perlawanan Liga Super yang telah diharungi – tewas enam perlawanan pertama dan hanya mencatat seri pada dua perlawanan terakhir ketika menentang Melaka dan PKNS Selangor sekaligus menghuni tangga tercorot.

Dalam saingan Piala FA pula mereka menang ke atas pasukan Liga FAM, MPKB-BRI-UBES 1-0 di pusingan kedua, namun di pusingan ketiga dibelasah pasukan Liga Premier Negeri Sembilan 4-1.

- Advertisement -