Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Pulau Pinang, Ashley Westwood tidak akan sesekali tunduk kepada desakan hebat penyokong pasukan itu yang mahu dia melepaskan jawatan gara-gara prestasi buruk ditunjukkan dalam saingan Liga Super musim ini.

Kekalahan 1-6 kepada Pahang di Kuantan minggu lalu menjadikan Pulau Pinang mencipta sejarah sebagai pasukan pertama untuk tewas kesemua lima perlawanan pembukaan sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004. 

Justeru, Westwood dan presiden baru Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari menjadi sasaran utama kemarahan penyokong yang berpendapat kedua-duanya sebagai punca utama kemerosotan pasukan.

Malah pada aksi menentang Sarawak di Stadium Batu Kawan 11 Februari lalu, penyokong pasukan dikenali dengan gelaran harimau kumbang menimbulkan kekecohan sehingga memaksa pihak berkuasa menyuraikan mereka dengan melepaskan gas pemedih mata.

Di sebalik situasi panas itu, Westwood tetap mengatakan dia masih mampu merubah nasib pasukan itu.

“Jika kami masih kekal dalam situasi ini selepas 10 atau 11 perlawanan, saya akan menjadi individu pertama untuk mengakui bahawa semuanya serba tidak kena dan berundur. Saya tidak akan berundur hanya selepas lima perlawanan kerana apa yang diusahakan di sini adalah satu projek jangka panjang dan kami percaya terhadap apa yang sedang dilakukan.

“Jika ada pemain-pemain saya berkata mereka tidak gembira dengan saya dan memberitahu bahawa saya bukanlah jurulatih yang tepat untuk membimbing pasukan ini, saya akan lepaskan jawatan serta merta.

“Saya menerima tugasan ini dengan potongan sebanyak 50 peratus dari gaji yang saya terima di India sebelum ini kerana saya percayakan projek ini. Saya adalah individu pertama yang kecewa dengan lima kekalahan yang kami alami.

“Penyokong yang berniat mahu memboikot perlawanan kami di gelanggang sendiri, dipersilakan. Setidak-tidaknya kurang sedikit tekanan di atas pemain saya. Tetapi saya berpendapat penyokong seharusnya bersama-sama kami, berdiri di belakang kami di saat kami sedang lalui saat sukar,” ujar bekas pengendali Bengaluru FC itu.

Pulau Pinang yang terselamat dari tersingkir ke 100 Plus Liga Premier musim lalu, membuka tirai musim baru dengan kekalahan 0-2 kepada Selangor, diikuti Perak, T-Team dan Sarawak kesemuanya dengan jaringan 0-1 sebelum kekalahan terbaru kepada Pahang.

Satu-satunya kemenangan mereka adalah ketika menewaskan MPKB-BRI-UBES 1-0 dalam saingan pusingan kedua Piala FA.

“Pemain-pemain perlukan sedikit masa untuk mempamer peningkatan, ia tidak akan berlaku secara drastik, tetapi secara beperingkat. Selain kekalahan besar kepada Pahang, kita tetap berjaya tampilkan permainan baik dalam empat perlawanan sebelum itu. Penguasaan bola adalah milik kita, dan kita banyak melakukan percubaan dalam tiga perlawanan cuma gagal menjaringkan gol,” katanya.

Pulau Pinang akan meneruskan misi mencari kemenangan pertama mereka, dengan turun menentang pendahulu liga, Kedah yang sedang berada dalam prestasi terbaik mereka pada malam ini, di Alor Star. 

- Advertisement -