PINGAT emas terakhir sukan menembak temasya Sukan Malaysia ke-20 (Sukma XX) menjadi milik Wilayah Persekutuan menerusi acara 10 meter air rifle campuran.
Gandingan Ikhmal Syafiq Mat Zuki dan Nur Izazi Rosli menewaskan pasangan Pahang, Zaffin Khushairie Mohd Azman/Shalyn Najjihah Muhammad Sharif 17-9 dalam perlawanan akhir di Lapang Sasar Menembak Nasional, hari ini.
Ia adalah pingat kedua buat Ikhmal Syafiq selepas menang gangsa acara 10m air rifle individu lelaki, sama seperti Nur Izazi yang menang perak bagi acara wanita.
Gangsa dimenangi pasangan Pulau Pinang, The Ern Liang/Nur Maisarah Dzulkifli yang mengatasi pencabar dari Perak, Aiman Syariq Zainal Ariffin/Sharifah Noor Ellyana Syed Abdul Hamid 16-10.
Dengan berakhirnya Sukma XX ini, Pahang dinobatkan sebagai kuasa acara menembak dengan keseluruhan lapan emas, diikuti Johor dan Negeri Sembilan (5), Selangor (4), Wilayah Persekutuan (2) dan masing-masing 1 emas Sarawak dan Pulau Pinang.