Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pada hari ini mengadakan kunjungan bertemu YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan bagi memeterai usaha sama program Jalinan Kerjasama Komuniti Sukan Khaira PPZ-YAKEB.
Program ini merupakan inisitiatif terbaru dalam usaha Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan membantu para bekas atlet negara dengan kerjasama rakan strategiknya.
Inisiatif ini bertitik tolak dari usaha YB Menteri Belia dan Sukan untuk membantu meringankan beban para bekas atlet negara dalam menghadapi kepayahan yang timbul akibat penularan pandemik COVID-19.
Sejak penularan COVID-19 melanda, YB Menteri Belia dan Sukan telah memperkasa peranan YAKEB bagi membantu bekas-bekas atlet yang terkesan termasuklah menyalurkan sejumlah peruntukan bagi membolehkan YAKEB melaksanakan peranan tersebut.
Pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) sebagaimana organisasi lain yang turut prihatin terhadap nasib para bekas atlet negara telah tampil untuk menyahut seruan pihak YAKEB.
PPZ melalui beberapa produk perkhidmatannya telah memperuntukkan dana sebanyak RM60,500.00 untuk diagihkan kepada para bekas atlet negara yang berdaftar dengan YAKEB.
Bantuan ini diberikan dalam pelbagai bentuk; bantuan tunai – Khaira PPZ dan Khaira Prihatian PPZ.
Bantuan barangan asas – Bakul Rezeki Khaira PPZ. Bantuan-bantuan ini diagihkan kepada 161 orang yang memerlukan.
Selain dari menyediakan dana untuk sumbangan bantuan, pihak PPZ juga telah menyediakan kaedah khas untuk komuniti sukan terutamanya yang beragama Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka di dalam membayar zakat.
Untuk itu, dalam sesi pertemuan bersama YB Menteri Belia dan Sukan pada hari ini, pihak PPZ telah mengambil peluang untuk memperkenalkan sistem pembayaran zakat secara online khas untuk komuniti sukan.
Ianya adalah sebagai galakan bagi pembayaran zakat di antara komuniti sukan agar satu persekitaran ekosistem dapat dibina yang mana wang zakat yang dibayar akan disalurkan kembali kepada ahli sukan yang memerlukan di bawah YAKEB.
Sumbangan yang diberikan pihak PPZ hari ini juga memberi gambaran menyeluruh bahawa Institusi Zakat sentiasa proaktif dan cakna dalam membantu masyarakat dari pelbagai kategori termasuklah warga komuniti sukan.
Bagi YAKEB, kemudahan yang disediakan perlu disambut dengan baik oleh komuniti sukan di luar sana. Selain memudahkan kita untuk menunaikan tanggungjawab dalam mengeluarkan zakat ianya juga menjadi platform untuk membantu para bekas atlet Negara yang memerlukan.
YB Menteri Belia dan Sukan turut memberi penekanan dan menaruh kepercayaan kepada YAKEB untuk terus menyantuni bekas-bekas atlet serta membantu mereka dengan pelbagai pendekatan termasuklah peluang pekerjaan.
Program hari ini turut dihadiri Pengerusi YAKEB, Dato’ Hj. Noorul Ariffin Abdul Majeed, Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Dr Mohamed Alwi Hj Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Hj Ahmad Shukri Yusoff dan Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat, Encik Nor Mukshar Harun.
Turut hadir bagi menerima sumbangan dari pihak PPZ, Encik Muhammad Koh bin Abdullah (Angkat Berat Para), Encik Zakri Ibrahim (Silat), Encik Muhammad Ivarn Syazwan bin Soosaydas (Menembak). Manakala Dato’ Zaiton Othman hadir sebagai bekas atlet Negara pertama menggunakan sistem bayaran online yang baru diperkenalkan.