Oleh Ku Mohd Lufti
Pemain kelahiran Korea Selatan, Amy Yang terus mengekalkan pukulan konsisten untuk mengungguli hari kedua Kejohanan Golf Sime Darby LPGA 2016.
Hari kedua, pemain berusia 27 tahun itu menutup pusingan kedua dengan catatan 69 pukulan dua dibawah par, sekaligus mengumpul 132 pukulan 10 dibawah par keseluruhan.
Amy Yang berkelebihan tiga pukulan didepan dua pemain yang berkongsi kedudukan kedua, Mi Jung Hur, Candie Kung dan Anna Nordqvist yang mengumpul 135 pukulan tujuh dibawah par selepas bermain 36 lubang.
Saingan hari kedua semalam bagaimanapun ditangguhkan kira kira 35 minit sebelum disambung semula akibat hujan lebat dan kilat.
Yang, bagaimanapun sedikit kecewa dengan permainannya dan berharap untuk lebih tenang dalam baki dua hari untuk muncul juara.
“Sebenarnya, ia bukan cara yang saya mahu mulakan permainan. Saya beroleh beberapa peluang yang baik melakukan birdie tetapi gagal menyempurnakannya. Namun saya cuba untuk bertenang sepanjang permainan.
“Saya harus lebih tenang dan melakukan yang terbaik. Saya sudah berlatih bersungguh-sungguh dan perlu percayakan apa yang telah saya jalani sewaktu latihan,” katanya.
Sementara itu, pemain amatur negara, Nur Durriyah Damian menyamai par 71 hari ini bagi catatan keseluruhan empat atas par 146 untuk berkongsi kedudukan ke-54 dengan lima pemain lain termasuk pemain utama negara, Kelly Tan.
“Segalanya menjadi hari ini tetapi saya melakukan bogey di dua lubang terakhir. Harap saya dapat melakukannya dengan lebih baik dalam dua pusingan terakhir,” kata Nur Durriyah yang menjuarai kejohanan Amatur Wanita Terbuka Malaysia Ogos lepas dan pingat emas Sukan Malaysia.