Tonggak skuad futsal kebangsaan, Yazid Kamaruzuan percaya Malaysia mempunyai segala rencah diperlukan untuk pulang dengan pencapaian cemerlang dari Kejuaraan Futsal AFF 2017 di Vietnam yang berlangsung 25 Oktober hingga 3 November ini.
Menurut pemain berdarah kacukan berusia 25 tahun itu, skuad negara semakin bertambah baik selepas berakhirnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu.
Justeru Yazid berpendapat peluang cukup cerah untuk skuad kendalian Chiew Chun Yong itu melakar pencapaian lebih baik dari sasaran awal separuh akhir yang ditetapkan.
âSaya tidak akan kata bahawa layak ke separuh akhir sudah cukup baik, berada di empat terbaik akan melayakkan kita ke Kejuaraan AFC tetapi kita perlu buat lebih dari itu. Kalau tidak juara, naib juara. Saya tahu semua pasukan pergi ke sana dengan persiapan yang rapi dan mahu mencapai sesuatu, begitu juga kita.
âKita menunjukkan peningkatan konsisten selepas Sukan SEA tempoh hari, walaupun kita tewas kepada Thailand tetapi kita berjaya menyaingi mereka dengan begitu hebat. Kemudian kita telah adakan beberapa siri persahabatan termasuk di Qatar dan semuanya nampak positif,â ujar Yazid.
Sebagai memantapkan persiapan, Malaysia telah mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Qatar di Doha yang mana berkesudahan dengan seri 1-1 dan menang 5-4 pada minggu lalu.Â
 âJadi saya mahu momentum ini diteruskan di AFF, ini masa dan peluang terbaik untuk kita tunjukkan kepada semua kredibiliti kita walaupun saya perlu akui ia bukan sesuatu yang mudah apatah lagi kita sekarang menjadi pasukan yang semua mahu tewaskan,â tambah Yazid yang membantu Melaka menjuarai Liga Futsal Kebangsaan tahun ini.
Yazid yang kini mewakili pasukan futsal elit dari Pahang, Kuantan Rangers FC ditemui Sports 247 selepas sesi latihan terakhir pasukan negara di gelanggang futsal Wisma FAM pada Ahad. Mereka akan bertolak ke Vietnam pada Selasa ini.
Pasukan negara diundi di dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, Timor Leste dan Laos manakala Kumpulan B menampilkan tuan rumah Vietnam, Myanmar, Indonesia, Brunei dan Filipina.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Kejuaraan Futsal AFF adalah muncul naib juara edisi 2003, 2005 dan 2010. Pada dua edisi terdahulu iaitu 2015 dan 2016, skuad negara sekadar berpuas hati dengan menduduki tempat ketiga. – OLEH MUHAMMAD AIMAN