Oleh Muhammad Aiman
Pemain perseorangan wanita kebangsaan, Ho Yen Mei berpendapat dia perlu segera belajar daripada pemain-pemain junior bagi membantu transisi karier dan meningkatkan kualiti permainannya ke tahap lebih baik.
Pemain berusia 20 tahun itu mengakui dia tidak begitu berpuas hati dengan fasa peralihannya dari seorang pemain junior ke senior yang dilihat begitu perlahan berbanding pemain lain seperti Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying (naib juara Kejohanan Dunia 2015).
Minggu lalu, Yen Mei tewas kepada Jin Wei di separuh akhir Grand Prix Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara dan Jin Wei kemudiannya menamatkan cabaran terakhirnya bagi tahun ini sebagai juara dengan menewaskan seorang lagi pemain senior, Sonia Cheah.Â
“Lihat bagaimana Jin Wei mengorak langkah ke depan dengan begitu pantas, saya pula tidak menang apa-apa gelaran tahun ini. Saya adalah pemain yang lebih senior, tetapi saya perlu belajar dari apa yang ditunjukkan Jin Wei dan Ying Ying,” ujar Yen Mei yang menjulang gelaran terakhirnya lebih setahun yang lalu di kejohanan kelas kelima, Siri Antarabangsa Poland.
Tambah pemain yang sudah dua tahun diserap ke dalam skuad senior itu, “Mereka bekerja keras dan ini terbukti apabila melihat perkembangan mereka dalam pasukan kebangsaan. Perkembangan saya pula agak perlahan malah kekal tanpa sebarang perubahan.”
Kecewa dengan musim yang tidak begitu memberangsangkan dengan pencapaian terbaiknya adalah muncul naib juara di Cabaran Antarabangsa Malaysia bulan lalu setelah tewas kepada Sayaka Takahashi, Yen Mei tekad tampil lebih baik pada 2017.
“Saya perlu meningkatkan lagi keadaan fizikal dan gerak kaki. Ianya mengecewakan untuk mengakhiri musim tanpa sebarang kejuaraan. Tahun depan, sasaran saya adalah menang kejuaraan Grand Prix (kelas ketiga) atau Grand Prix Gold (kelas kedua).”
Yen Mei ketika ini berada di ranking ke-56 dunia, perseorangan ketiga negara di belakang Jin Wei (32) dan Tee Jing Yi (34). Pemain lain dalam skuad kebangsaan adalah Sonia (63), Ying Ying (73), Lim Yin Fun (78) dan Lee Zii Yee (134).