Perak selaku juara bagi Kejohanan Ragbi Piala Agong 2016 Ke-34. Foto - Rohimi Ahmad
Perak selaku juara bagi Kejohanan Ragbi Piala Agong 2016 Ke-34. Foto – Rohimi Ahmad

Oleh Ku Mohd Lufti

Perak muncul juara buat kali pertama Kejohanan Ragbi Piala Agong selepas menewaskan Johor 17-14 dalam perlawanan akhir di padang Kelab Eagles di sini, malam ini.

Kekecewaan jelas terpancar diwajah pemain pemain Johor yang selesa mendahului di babak pertama, namun kesilapan kecil membuka ruang kepada Perak untuk meraih mata sehingga penghujung perlawanan.

Johor yang dipimpin Hanrizal Amdan mendahului 6-0 selepas 20 minit hasil dua penalti yang disudahkan Wan Mohd Ashraf Norudin.

Kedudukan semakin selesa buat Johor apabila menutup babak pertama dengan 11-0 selepas Vaovasa Afa melakukan try dipenghujung perlawanan.

Johor terus memberi tekanan ke atas Perak apabila Wan Mohd Ashraf sekali lagi menyumbang mata menerusi penalti untuk kedudukan 14-0.

Perak mula bangkit selepas itu dan mengurang defisit mata menerusi try pemain flanker, Veniona Vukin Agauna disusuli conversion oleh pemain yang beraksi di posisi winger, Muhd Faisal Tahir untuk kedudukan 7-14.

Johor tampak tersentak dengan jaringan tersebut dan kembali memperkemaskan jentera prtahanan untuk mengekang asakan Perak.

Skuad kendalian Mohamad Nazeer Mohamed Nesharah tidak putus asa dan terus mengasak kubu lawan.

Usaha itu nyata berhasil apabila Mohd Amir Aswad Mat Saad melakukan try untuk kedudukan 12-14 dipenghujung perlawanan, disusuli conversion sempurna oleh Faisal sekaligus menghampakan Johor apabila tamat masa sebenar kedudukan terikat 14 sama.

Dalam aksi masa tambahan Perak mengesahkan status mereka sebagai juara apabila pemain yang beraksi di posisi winger, Muhd Faizal Md Tahir menyudahkan penalti untuk keputusan akhir, Perak menang 17-14.

Selain membawa pulang Piala Agong, skuad itu turut menerima wang tunai RM10,000 manakala pemain mereka, Mohd Amir Aswad dinamakan sebagai Pemain Terbaik kejohanan.

Sabah pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas menewaskan Terengganu 22-18 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Hadiah disampaikan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) Datuk Shahrul Zaman Yahya.

- Advertisement -