Penularan Covid-19 turut memberi kesan kepada pasaran perpindahan pemain bola sepak.
Bilangan perpindahan pemain antarabangsa tahun 2020 turun 5.4% berbanding tahun sebelumnya. Jumlah bayaran perpindahan turut menjunam 23.4%.
Dipetik dari Laporan Pasaran Perpindahan Global terbitan FIFA, badan pentadbir bola sepak dunia mengatakan jumlah perbelanjaan yang telah dibelanjakan untuk yuran perpindahan turun sebanyak AS$1.7 billion kepada AS$5.63 billion pada 2019, jatuh satu perempat kepada jumlah terkumpul terendah sejak 2016.
Tidak menghairankan, kelab-kelab Inggeris membelanjakan bayaran perpindahan antarabangsa terbanyak dengan jumlah sekitar AS$1.63 billion, diikuti oleh kelab-kelab Itali dengan gabungan jumlah AS$731.5 juta. Kelab-kelab Sepanyol pula adalah penerima yuran terbanyak dengan AS$785.7 juta.
Dalam laporan itu, Chelsea disenaraikan sebagai kelab diEropah yang menghabiskan perbelanjaan perpindahan tertinggi diikuti oleh Manchester United, Manchester City, Barcelona, Juventus dan Leeds United.
Sementara itu, Manchester City dicatat sebagai perpindahan paling banyak dengan 45 perpindahan dihadapan Dinamo Zagreb dan Watford.
FIFA merekodkan 17,077 perpindahan antarabangsa berbanding 18,047 pada tahun sebelumnya. Penurunan kali pertama sejak tahun 2010.
Laporan itu turut mendedahkan hanya 11.6% perpindahan yang melibatkan perpindahan tetap antara kelab, manakala 62.5% melibatkan pemain yang tidak terikat dengan kontrak. Hanya 1.3% dari semua perpindahan melibatkan bayaran melebihi AS$5 juta.
Laporan itu turut menyenaraikan 10 perpindahan terbaik dikalangan pemain lelaki termasuk perpindahan Kai Havertz dari Bayer Leverkusen ke Chelsea; Arthur Melo dari Barcelona ke Juventus; Victor Osimhen dari Lille ke Napoli; Bruno Fernandes ke Manchester United dari Sporting Lisbon; dan; Ruben Dias yang meninggalkan Benfica ke Manchester City. – Oleh Siti Zafirah Kamal