Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah mengakui skuad The Hawks perlu memperkemaskan benteng pertahanan andai mahu menjadi pencabar kejuaraan yang serius apabila tirai Liga Super bermula 1 Februari ini.
Lebih tepat, Yusri yang dilantik menjadi pengganti Fabio Maciel pada Disember lalu, enggan lagi melihat pasukan bimbingannya menjadi mangsa belasahan pada musim ini selepas Kuala Lumpur telah dibolosi 70 gol dalam tiga kejohanan Liga Malaysia tahun lalu.
Tanpa berselindung, bekas jurulatih Kelantan itu menegaskan, mengukuhkan benteng pertahanan menjadi fokus utama The Hawks selain berazam mahu memperbaiki rekod jaringan selepas sekadar menjaringkan 58 gol dalam kejohanan domestik.
Namun Yusri menyedari cabaran getir menanti anak buahnya terutama beberapa kelab di Liga Malaysia telah berbelanja besar mendapatkan penyerang import berkualiti tinggi antaranya Dickson Nwakaeme (Pahang) dan Diogo Luis Santo (Johor Darul Ta’zim) yang dijangka bakal menjadi igauan tonggak pertahanan pasukan Liga Malaysia.
Sebagai rekod, Kuala Lumpur bolos 51 gol dalam kempen Liga Super, Piala FA (4 gol) dan Piala Malaysia (14 gol) pada musim lalu.
“Sepanjang saya bersama pasukan baharu ini, banyak yang perlu saya perkemaskan terutamanya barisan pertahanan dan corak bertahan secara berpasukan. Ini kerana selepas kami melihat kepada fakta, pasukan Kuala Lumpur telah dibolosi 70 gol dalam tiga kejohanan musim lalu.
“Jadi pada pandangan peribadi saya, pasukan dalam Liga Super tidak hanya perlu fokus untuk menjaringkan gol tetapi pertahanan juga harus diperkemaskan apatah lagi kami bolos dengan banyak pada musim lalu.
“Pengalaman lalu bakal dijadikan iktibar kepada pemain-pemain saya dan saya berharap Kuala Lumpur tidak akan mudah dibolosi lagi dengan mana-mana pasukan lain pada musim ini,” katanya.
Bagi memantapkan benteng pertahanan, Yusri telah membawa masuk pemain baru antaranya Khair Jefri Jones, Fitri Omar dan Alif Samsudin namun terpaksa akur dengan kehilangan pemain pertahanan kiri, Syazwan Andik Ishak yang menyertai JDT.
Kuala Lumpur yang menduduki tangga ke-10 musim lalu, akan membuka kempen liga bertemu Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum berkunjung ke Larkin bagi aksi kedua menentang JDT di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada 8 Februari depan. MUHD AIMAN