#Harith Farhan tidak dapat beraksi setelah jalani pembedahan
Pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing bakal mempertaruhkan dua pelumba sahaja bagi menghadapi saingan CP150 pada pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, 17 dan 18 November ini.
Hanya Azroy Hakeem Anuar dan Amirul Ariff Musa akan turun beraksi dalam kategori CP150 sementara Harith Farhan Baharin tidak dapat beraksi setelah menjalani pembedahan lutut baru baru ini. Md Aiman Azman dan Shahrol Syazraz Shahrol Yuzy pula kekal membawa cabaran dalam kategori CP115.
Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini menjelaskan ketiadaan Harith tidak menjejaskan strategi pasukan dan akui Harith berkemungkinan turut tidak dapat beraksi pada pusingan penutup tirai musim 2018 di Johor, Disember depan.
“Kecederaan Harith sudah agak lama, jadi keputusan melakukan pembedahan ketika ini adalah tepat sebagai persediaan untuk menghadapi musim 2019 nanti dan kita juga harapkan dia dapat pulih dengan segera,” jelas Yuzy.
Tambahnya, “Cuma strategi awal kami pada minggu ini adalah untuk meletakkan pelumba berpengalaman, Mohd Zaqhwan Zaidi sebagai pengganti di Jempol memandangkan saingan Kejuaraan Seluruh Jepun yang disertainya pada musim ini telah tamat.
âMalangnya, Zaqhwan terjatuh dan tangannya mengalami kecederaan pada perlumbaan terakhir kategori 1000cc di Jepun baru-baru ini. Jadi dia tidak dapat beraksi pada minggu ini. Kemungkinan dia akan berlumba di Johor nanti andaikata Harith masih belum sembuh sepenuhnya.”