Litar Temerloh sering menceriakan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan menjelang perlumbaan pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS hujung minggu ini, pengurus pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing itu berharap sekali lagi tuah akan memihak kepadanya.
Sejak pertama kali Temerloh berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix pada tahun 2013, pasukan itu telah meraih tiga podium dalam kelas perdana melalui Mohd Zaqhwan Zaidi yang muncul naib juara dan juara pada tahun 2013 dan 2014 dalam kategori CP130 manakala di tempat ketiga sewaktu perlumbaan pertama kelas CP150 pada tahun 2017.
Hanya pada tahun 2016 Zaqhwan gagal menaiki podium apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat manakala tidak beraksi pada tahun 2015.
Saingan kategori CP115 juga tidak mengecewakan apabila menghadiahkan dua podium di tempat kedua dan ketiga pada musim 2017 melalui Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Amirul Ariff Musa.
“Walaupun tahun ini Zaqhwan tidak bersama kami, persembahan Azroy yang dinaikkan ke kelas CP150 semakin menunjukkan peningkatan. Dia berjaya menempatkan diri di kelompok hadapan sepanjang dua pusingan lepas cuma nasibnya tidak begitu baik apabila mengalami beberapa masalah mekanikal dan insiden sewaktu perlumbaan,” jelas Yuzy.
“Azroy juga semakin matang dan menunjukkan peningkatan prestasi dari semaa ke semasa. Walaupun pertama kali beraksi bersama pelumba-pelumba senior lebih berpengalaman, dia mampu menangani cabaran dan kami berharap dia akan meraih kejayaan.”
Tambah Yuzy, “Dari segi jentera juga ia lebih baik pada tahun ini. Jurutera pasukan terus bekerja keras sebagai persiapan untuk perlumbaan minggu ini. Mudah-mudahan litar Temerloh akan terus menghadiahkan podium kepada pasukan kami.”