Atlet pecut negara, Jonathan Nyepa mengecewakan jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan apabila muncul juara dalam saingan 200 m di Terbuka Olahraga Malaysia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Henjutan di 20 meter terakhir nyata sukar digugat apabila atlet kelahiran Sarawak itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 21.10 saat untuk meraih pingat emas sekaligus memadamkan catatan peribadi terbaiknya 21.18 saat.
Pingat perak menjadi milik Abdul Wafiy Roslan dari Terengganu yang melakar masa 21-24 saat manakala Khairul Hafiz Jantan melengkapkan podium selaku pemenang pingat gangsa dengan catatan masa 21.27 saat.
Jonathan meraih pingat perak selepas menamatkan acara pecut 100 meter lelaki di kedudukan kedua dengan catatan masa 10.40 saat dibelakang pemenang pingat emas dari Sri Lanka, Vinoj Suranjaya De Silva yang mencatat masa 10.27 saat.
Hari kedua Kejohanan Olahraga Kebangsaan milik Zaidatul Husniyah Zulkifli apabila meraih emas kedua menerusi acara 200 meter.
Ratu pecut negara ini tidak berdepan tentangan sengit untuk muncul juara dengan catatan masa 23.74 saat manakala S Komalam Shally dan Shereen Samson Vallabuoy masing masing menduduki tangga kedua dan ketiga.
Saingan lompat tinggi pulan menyaksikan Nauraj Singh Randhawa muncul pemenang pingat emas selepas melakukan lompatan setinggi 2.23 meter.
Beliau menewaskan atlet senior, Lee Hup Wei yang hanya mampu untuk melakar lompatan terbaik 2.20 meter sekaligus berpuas hati di kedudukan kedua manakala Muhd Syazwan Ahmad ketiga untuk meraih gangsa selepas melakukan lompatan setinggi 2.10meter.
Dalam pada itu, hasrat penyokong tempatan menyaksikan atlet kebangsaan mendominasi kedudukan podium dalam saingan lompat jauh lelaki tidak kesampaian apabila pingat emas acara itu dimenangi atlet Korea Selatan, Kim Sang Su selepas mencatat lompatan 7.39 meter (m).
Jaguh Paralimpik negara, Abdul Latiff Romly terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas hanya dipisahkan 0.02m sementara Luqman Hakim Ramlan yang merekodkan catatan peribadi terbaik 7.82m pada Mac lalu, hanya mencatat jarak 7.24m untuk gangsa.