Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan belum mahu tersenyum dengan prestasi ditunjukkan pasukannya dalam aksi persahabatan pra musim dan mengakui masih mencari ramuan tepat untuk menjadikan pasukannya pencabar kejuaraan tatkala sepak mula liga hanya berbaki kira-kira dua minggu lagi.
Melaka United setakat ini menunjukkan kepada semua bahawa mereka pasukan yang perlu diberi perhatian apabila menang kesemua tiga perlawanan di Stadium Hang Jebat ke atas Selangor United (3-2), Negeri Sembilan (2-0) dan Warriors FC dari Singapura (5-1).
Terbaru skuad sang kancil itu mengharungi siri perlawanan persahabatan di Vietnam menyaksikan mereka seri 3-3 menentang Becamex Binh Duong FC pada Sabtu lalu, kemudiannya tewas 1-3 kepada Ho Chi Minh City FC pada Ahad sebelum menutup Jelajah Vietnam dengan kemenangan 2-1 ke atas Sai Gon FC pada Selasa.
“Kita telah cuba semua pemain di Vietnam, tetapi beberapa pemain masih lagi ingin dapatkan rentak permainan, jelajah ini adalah satu pelajaran dan pengajaran untuk memperbaiki segala kelemahan, jadi seperti yang saya cakap banyak lagi benda-benda yang kita perlu buat sebelum mulanya Liga Malaysia 2019.
“Pemain-pemain yang diberi peluang bermain perlu bekerja lebih keras untuk diletakkan sebagai pemain utama dan harus menunjukkan kesungguhan dan membuktikan mereka layak mendapat tempat”, kata Zainal kepada Sports247.
Bagi musim 2019, Melaka United dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan setelah berjaya merekrut nama-nama besar seperti Safiq Rahim, Shukor Adan, Razman Roslan, Nazrin Nawi, Oscar Wong serta penyerang import baru, Casagrande, ditambah pula dengan pemain sedia ada seperti Khairul Fahmi Che Mat. – OLEH MUHAMMAD AIMAN