Mohd Zaqhwan Zaidi berhasrat unutuk menamatkan kemarau gelaran juara SuperSports 600cc apabila turun beraksi pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 12 hingga 14 Oktober ini.
Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu yang juga merupakan juara keseluruhan musim 2014 dan 2016 setakat ini masih belum meraih sebarang gelaran juara sepanjang empat pusingan lepas dengan pencapaian terbaik muncul naib juara pada pusingan keempat yang berlangsung di Madras, India, Ogos lepas.
Kali terakhir Zaqhwan muncul juara ialah pada Perlumbaan 1 sewaktu pusingan keenam ARRC di Litar Buriram, Thailand yang membantunya untuk muncul naib juara keseluruhan di belakang seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman.
“Saya sangat berharap dapat memenangi perlumbaan pada minggu ini namun rekod saya di sini tidak begitu baik. Pada musim lepas saya sekadar di tempat keempat pada perlumbaan kedua sebelum mengalami kemalangan dan tidak dapat beraksi pada Perlumbaan 2,” jelas Zaqhwan.
Tambahnya, “Namun saingan sudah tentu bukannya mudah, ditambah dengan kehadiran pelumba tuan rumah dan juga faktor keadaan litar yang agak mencabar di sini. Walau bagaimanapun, saya akan memberikan yang terbaik dan turut yakin kemampuan jurutera pasukan untuk menyediakan jentera yang terbaik kepada saya.”
Selepas empat pusingan, Zaqhwan yang turut beraksi dalam saingan 1000cc di Kejuaraan Seluruh Jepun kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan mengumpul 65 mata selepas tidak beraksi pada pusingan kedua di Australia.