Pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi akan mengetuai cabaran pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa pada perlumbaan Endurance Suzuka 8-Hours (S8H) 2019 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hujung minggu ini.
Pelumba asal Selangor itu akan bergabung dengan dua lagi rakannya, Andi Farid Izdihar dari Indonesia dan Teppei Nagoe dari Jepun.
Teppei diserapkan dalam pasukan pada saat-saat terakhir bagi menggantikan tempat pelumba Moto3 Thailand, Somkiat Chantra yang diketepikan gara-gara masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Somkiat terlibat dalam kemalangan awal bulan ini dan dia terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di S8H.
“Pada mulanya, pasukan ini bakal menggandingkan saya, Somkiat dan Andi untuk membentuk kombinasi pelumba Malaysia-Indonesia-Thailand.
“Begitupun, perancangan tersebut tidak dapat direalisasikan kerana Somkiat yang masih belum pulih daripada kecederaan terpaksa diketepikan memandangkan perlumbaan ini memerlukan seseorang pelumba itu memiliki tahap kecergasan yang tinggi.
“Selepas itu, pengurusan pasukan membuat keputusan untuk menyenaraikan seorang lagi pelumba Indonesia, Garry Salim yang memenangi gelaran juara keseluruhan dalam kelas AP250 pada kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2017.
“Namun, Gary juga terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan. Akhirnya, pihak pengurusan pasukan membuat keputusan untuk menyenaraikan pelumba Jepun, Teppei Nagoe.
“Saya mengalu-alukan penyertaan Teppei ke dalam pasukan walaupun pengumuman tersebut dibuat pada saat-saat akhir.
“Saya yakin, Teppei mampu memberi sumbangan kepada pasukan kerana dia sudah biasa berlumba di Litar Suzuka.
“Kami akan membentuk gandingan yang mantap untuk menghadapi perlumbaan S8H itu nanti,” jelas Zaqhwan yang kini sudah berada di Suzuka untuk membuat persiapan awal.
Ini merupakan penampilan keempat berturut-turut Zaqhwan pada perlumbaan S8H bersama pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa.
Pencapaian terbaik mereka adalah menduduki tempat ketujuh pada edisi 2017. S8H 2019 bakal disertai beberapa pelumba hebat dari Eropah dan setiap pasukan akan dibarisi tiga pelumba.
Mereka akan bergilir-gilir memasuki litar sebaik seorang pelumba kembali ke pit.