Pelumba SuperSports negara, Mohd Zaqhwan Zaidi percaya Azroy Hakeem Anuar mampu menggalas tanggungjawab dan menjadi penggantinya dalam pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing berdasarkan persembahan yang dipamerkan pada perlumbaan CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang lepas.
Zaqhwan yang juga juara kategori CP130 2014 merupakan pelumba utama pasukan Yuzy Racing sepanjang beberapa musim lepas namun terpaksa mengetepikan saingan CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2018 setelah memutuskan untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap perlumbaan 1000cc di Kejuaraan Seluruh Jepun dan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC).
Menjelang perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix di Jasin, Melaka, minggu ini, Zaqhwan percaya Azroy sekali lagi mampu meneruskan aksi cemerlang sebagaimana yang dipamerkan dalam sesi latihan dan kelayakan CP150 di MAEPS, 7 dan 8 Julai lepas.
“Saya ada melihat aksi Azroy di Maeps. Dia menunjukkan peningkatan ketara dan sentiasa berada dalam kelompok pelumba hadapan ketika sesi latihan dan kelayakan, cuma kesilapan sewaktu perlumbaan akhir menyebabkan dia hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-10.
“Dia perlu lebih berhati-hati dan bertenang. Sama seperti peringkat awal saya dalam saingan kelas perdana ini, adakalanya saya terburu-buru dan gopoh. Mungkin dengan pengalaman demi pengalaman dalam perlumbaan selepas ini, dia akan semakin matang dan mampu menjadi juara,” jelas Zaqhwan yang akan menyertai Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour pada 27 hingga 29 Julai ini.
Sementara itu menyentuh tentang persediaan untuk perlumbaan 8-Hour, Zaqhwan menjelaskan dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Tahun ini saya akan bergandingan dengan dua pelumba berbeza berbanding musim lepas. Sesi latihan di Suzuka sepanjang beberapa minggu ini menunjukkan keputusan positif dan kami meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 pasukan terbaik.”