ong.kim,swee

Oleh Muhammad Aiman

Selepas Amirulhadi Zainal dan Mahali Jasuli, ketua jurulatih skuad kebangsaan Dato’ Ong Kim Swee memanggil seorang lagi wajah lama skuad negara, Zaquan Adha Abdul Razak untuk kembali menyarung jersi negara menjelang aksi persahabatan menentang Myanmar dan kelayakan Piala Asia menentang Timor Leste.

Penyerang JDT II itu bukanlah nama asing bagi peminat bolasepak tempatan di mana dia merupakan bekas penyerang kebangsaan di era Datuk K.Rajagobal dan merupakan anggota skuad pemenang pingat emas Sukan Sea 2009 di Laos.

Faktor kecederaan Anterior Cruciate Ligament berulang serta kemeruduman prestasi menyaksikan nama Zaquan, kembar kepada Aidil Zafuan itu terpaksa disisihkan dari skuad kebangsaan dan selepas sekian lama menyepi, Zaquan kembali memikat perhatian jurulatih kebangsaan setelah menunjukkan deretan aksi impresif musim ini.

 “Saya perlukan pengalaman di barisan depan dan Zaquan adalah pilihan tepat memandangkan dia kini di prestasi terbaiknya, selalu menjaringkan gol bersama JDT II. Saya tahu gaya permainan dia, dan dia seorang yang sentiasa bekerja keras untuk berikan yang terbaik,” kata Kim Swee.

Untuk rekod, Zaquan ketika ini merupakan penjaring kedua terbanyak JDT II di belakang Paolo Rangel dengan enam gol, malah dia turut menjaringkan hatrik ketika menewaskan Kuantan FA 4-1 pada minggu lalu.

Penyerang lain dalam skuad negara ketika ini adalah pemain veteran Amri Yahyah, serta dua penyerang muda Ahmad Hazwan Bakri dari Selangor dan S.Kumaahran dari Pulau Pinang. 

Tambah Kim Swee, “Saya perlukan barisan pemain terbaik untuk diturunkan kerana perlawanan Timor Leste adalah cukup penting bagi kita. Sekarang saya mempunyai skuad penuh yang sedang berlatih dan saya akan pilih 23 pemain terbaik sekembali dari Myanmar nanti.”

Kim Swee ditemui pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, petang tadi. Malaysia akan berlepas ke Myanmar pada Jumaat untuk aksi persahabatan menentang tuan rumah pada 28 Mei, dan sejurus kembali ke tanah air skuad Harimau Malaysia akan membuat persiapan akhir berdepan Timor Leste dalam aksi timbal balik di Larkin pada 2 dan 6 Jun depan.     

- Advertisement -