ong.kim.swee.4

Oleh Muhammad Aiman

Pemain sayap Johor Darul Takzim II, Zaquan Adha Abdul Radzak berharap akan mendapat kepercayaan pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Papua New Guinea, pada Isnin.

Pemain berusia 29 tahun itu baru beberapa bulan kembali menyertai kem kebangsaan setelah hampir empat tahun tersisih berikutan prestasi merudum pasca-kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebanyak tiga kali sekitar tahun 2009 – 2011.

Begitupun, prestasi dan keyakinan Zaquan dilihat semakin memuncak malah dia turut menjaringkan gol kemenangan ketika skuad kebangsaan mencatat kemenangan 4-3 ke atas skuad B-22 kebangsaan pada Jumaat lalu.

Dengan Kim Swee masih berdilema dalam mencongak siapa pilihan terbaik memperkasa jentera tengah, peningkatan ditunjukkan Zaquan hampir pasti meletakkannya sebagai antara calon utama kesebelasan apatah lagi dia berkemampuan beraksi di pelbagai posisi – tengah, sayap dan penyerang.

Menurut Zaquan, “Setakat ini semuanya ok. Saya pernah bermain bersama Safee (Sali) di barisan depan, dan bersama Irfan (Fazail) di posisi tengah. Jadi ia tidak sepatutnya menjadi masalah (bermain di mana-mana posisi). Apa sekalipun, saya tidak boleh cepat berpuas hati dengan prestasi semasa kerana saya tahu saya boleh lakukan yang lebih baik.

“Saya akan terus bekerja keras untuk meningkatkan tahap kecergasan saya, sebagai pemain sayap ianya memerlukan saya untuk banyak melakukan larian dan sebagai seorang penyerang, saya perlu lebih tajam menyudahkan peluang.

“Harapnya saya diberi peluang ketika menentang PNG, semua mahu melihat kita menang sebelum bertandang ke Myanmar,” ujar Zaquan yang merupakan antara pemain tempatan paling menyerlah bersama JDT II musim ini dengan menjaringkan 10 gol.

Untuk rekod, bekas pemain Negeri Sembilan dan ATM itu merupakan anggota skuad juara Sukan Sea Laos 2009 – dia tersisih keseluruhan aksi Sukan Asia dan Piala AFF Suzuki 2010 serta 2012 kerana ACL malah pada satu ketika ramai yang beranggapan peluangnya menyarung semula jersi kebangsaan sudahpun terpadam.

“Untuk kembali dipanggil selepas empat tahun (ketika menentang Timor Leste pada Jun) sememangnya tidak saya sangka, tapi inilah hasrat saya sejak sekian lama. Keinginan untuk menyarung jersi Malaysia tidak pernah sekalipun pudar. Saya tekad mahu gunakan peluang ini untuk membantu pasukan negara mara sejauh mungkin.”

- Advertisement -