ā Saya akui cukup puas kerana dapat menghasilkan dua jaringan sebegitu pada semalam namun lebih penting tiga mata buat Negeri Sembilan dalam menyalakan semula impian ke Liga Super musim depan selain bersaing dengan Sarawak United bagi mahkota kejuaraan Liga Premier, ā demikian kata penyerang berpengalaman Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Razak.
Dia muncul wira Negeri Sembilan FC ketika menumpaskan Kelantan FC dengan dua gol menerusi teknik yang berkualiti tinggi iaitu melalui rembatan half voli pada minit ke-4 serta sepakan lencong mengenai palang sebelum bola bergolek masuk pada minit 70.
Kemenangan itu meletakkan Negeri Sembilan kini kembali merampas kedudukan pendahulu Liga Premier daripada Sarawak United selepas pencabar mereka itu tewas 0-2 kepada PDRM FC di Stadium Hang Jebat, pada Jumaat.
Tambah Zaquan, pasukannya sememangnya mahukan kemenangan dalam perlawanan tersebut selepas gagal mengutip tiga mata penuh dalam dua perlawanan terdahulu iaitu semasa tewas 2-3 kepada Kelantan United dan seri tanpa jaringan dengan Kuching City FC.
ā Ini kemenangan yang penting buat kami kerana dua perlawanan di laman sendiri sebelum ini, kami tidak meraih kemenangan jadi telah rugi sebenarnya buat pasukan.
ā Jadi, tiga mata yang diraih dengan Kelantan kembali meletakkan Negeri Sembilan dalam landasan untuk bersaing dengan Sarawak United terutamanya, malah sebenarnya, rata-rata pemain cukup bermotivasi untuk menang apabila ketahui Sarawak United tewas pada perlawanan, Jumaat tempoh hari.
ā Satu lagi harus diingat Kelantan juga berada rapat mengekori kami dan berada dalam senarai pencabar selain Sarawak serta Kelantan United yang boleh bersaing bagi merebut dua slot teratas ke Liga Super, ā katanya.
Dalam perlawanan itu, pemain tengah Kelantan FC, Mario Arques juga melakar jaringan cantik menerusi teknik ābicycle kickā pada minit 54 untuk gol penyamaan namun Zaquan memastikan jaringan kemenangan buat tuan rumah.
Penyerang berusia 34 tahun itu kembali diturunkan dalam aksi keenam ketika berdepan Kuching City selepas direhatkan dalam empat perlawanan lalu yang ekoran mengalami kecederaan hamstring yang diperolehinya selepas aksi menentang Johor Darul Taāzim II (JDT II).
Namun, biarpun tampil dalam empat perlawanan, Zaquan cukup konsisten dengan telah menghasilkan empat gol secara keseluruhan dengan Negeri Sembilan.
Jelas pemain yang berasal dari Seremban ini, dia mengharapkan rentak kemenangan dapat diteruskan semasa perlawanan dengan Sarawak United pada Sabtu ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Tambahnya, dia dan rakan sepasukan tidak akan memandang rendah terhadap kemampuan lawan mereka itu walaupun kalah mengejut kepada PDRM FC kerana menyifatkan skuad kendalian E. Elavarasan itu mempunyai ramai pemain berkualiti tinggi.
ā Pertemuan dengan Sarawak United, saya rasakan akan menjadi penentu utama kepada sejauh mana kami mampu pergi pada musim ini dan saya mengharapkan rakan-rakan tidak pandang rendah kepada mereka.
ā Banyak perlawanan penting yang akan dilalui oleh Negeri Sembilan sepanjang Ramadan ini kerana kami akan bertemu PDRM dan JDT II selepas Sarawak United, jadi setiap kemenangan amat penting bagi meletakkan kedudukan yang lebih selesa kepada kami, ā katanya.