Zulfadli turun membawa misi getir buat Cheras pada ketika kedudukan terikat 7-7, namun bekas juara remaja dunia itu tampil dengan aksi meyakinkan untuk merentap rekod gah Evert yang sebelum ini menang enam perlawanan berturut-turut, termasuk menewaskan pemain nombor tiga dunia, Kento Momota.
Ditemui selepas perlawanan, Zulfadli berkata, “Saya tidak terlalu fikir tentang permainan dan rekod dia (Evert), siapa yang dia kalahkan. Walaupun saya tahu dia tewaskan (Boonsak) Ponsana, Iskandar (Zulkarnain), Momota tetapi saya hanya fikir tentang permainan saya dan saya gembira dapat tunjukkan prestasi sebenar walaupun dalam perubahan cuaca yang cukup ketara.
“Tempoh hari di Puchong cuaca panas, beza dengan di sini, altitud tinggi, sejuk, pergerakan bulu tangkis lebih laju jadi dia tidak dapat kawal kelajuan. Saya pula suka pergerakan laju kerana saya tahu saya boleh kawal depan dengan baik.”
Zulfadli mengambil masa 24 minit untuk menang 3-0 (11-5, 11-5, 11-2) ke atas Sukamta yang dilihat serba tidak menjadi dan langsung tidak dapat mengulangi aksi energetik sama seperti ditunjukkan dalam enam perlawanan lalu.
Jurulatih Cheras, Rashid Sidek menyifatkan pasukannya bernasib baik untuk mencatat kemenangan 10-7 setelah bermula dengan langkah kiri tewas dua aksi pertama dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.
Pemain pelapis kebangsaan Soong Joo Ven dikejutkan dengan kekalahan 0-3 (9-11, 9-11, 6-11) di tangan Leong Jun Hao manakala Febby Angguni tunduk 1-3 (5-11, 9-11, 11-8, 4-11) di tangan Zhang Bei Wen.
Setelah ketinggalan 1-6, pasangan beregu campuran Razif Latiff/Ng Hui Lin serta beregu lelaki Arif Latif/Azryn Ayub menewaskan lawan masing-masing untuk memastikan Cheras kembali dalam saingan.
“Kita sasarkan untuk menang dengan beza lima atau lebih mata, tetapi menang dengan tiga mata pun dah kira nasib baik. Itupun kita tidak letak harapan tinggi pada Zulfadli, kita sangkakan Joo Ven boleh menang 3-0 atau 3-1, tapi dia tewas kepada pemain muda yang kurang pengalaman, agak terkilan jugalah,” ujar Rashid.
Cheras ketika ini berada di tangga keempat dengan beza lapan mata (perlawanan) di belakang Puchong United tetapi masih berpeluang untuk melonjak ke tangga ketiga seandainya Puchong United tewas dengan defisit lebih dari 8 mata kepada Muar City dalam perlawanan terakhir yang juga perlawanan penutup tirai Purple League pada Ahad.
Bagi Klang United, mereka tidak mengharungi saingan yang baik apabila hanya menang dua dari 11 perlawanan, kedua-duanya ke atas lawan yang berada di bawah mereka –Bangsar Hawks dan Kajang namun jurulatih, Yap Kim Hock tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan dan peningkatan yang ditunjukkan pemain-pemain mudanya.