Tiada apa lagi yang perlu dilakukan Zulfadli Zulkifli berhubung penggantungan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana didapati bersalah mengatur perlawanan.
Meskipun tampil untuk menjelaskan perkara sebenar, perbuatannya Zulfadli tidak perlu dimaafkan.
Tatkala ramai pihak cuba untuk membendung gejala tidak sihat, pemain berusia 25 tahun ini tidak merasa segan untuk mendedahkan kegiatannya ke pusat perjudian.
Bekas juara remaja dunia 2011 ini dikenakan penggantungan selama 20 tahun selain denda USD 25 000. Malah BWF turut mengenakan penggantungan ke atas Tan Chun Seang selama 15 tahun serta denda USD 15 000.
Tidak dinafikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia untuk membantu Zulfadli, namun jika dilihat dari satu aspek lain, beliau tidak seharusnya diberikan bantuan.
Sudah jatuh ditimpa tangga, pemain profesional sepatutnya tahu batas dalam kehidupannya kerana beliau adalah pemain yang menjadi perhatian.
Kenyataannya yang menyangkal dakwaan BWF terhadap pertuduhan mengatur perlawanan mungkin sesuatu yang akan dinanti nantikan, namun pendedahannya ke pusat perjudian tidak perlu lagi dipertikaikan.
Sikapnya jelas sekali tidak menggambarkan keperibadian, malah ibarat menconteng arang ke muka BAM serta sukan badminton Malaysia.
Sewajarnya, Zulfadli tidak perlu dibantu kerana beliau lebih ‘professional’ tentang hal ini. BAM bukan tempat untuknya menagih simpati.
Mungkin keterlaluan, tetapi ia perlu untuk mengingatkan tidak perlu ada belas kasihan terhadap mana mana pemain yang gagal mengikuti peraturan yang telah ditetapkan.
BAM mungkin boleh mengenakan hukuman ke atas Zulfadli andai rayuannya berjaya seperti yang berlaku kepada pemain Jepun Kento Momota yang digantung hampir setahun kerana berjudi bersama sama rakan senegara SHo Sasaki.
Kejayaan perlu datang dengan usaha dan kerja keras, bukan melalui jalan pintas yang menyalahi undang undang.